PERIKATAN Nasional (PN) salah apabila menganggap mereka boleh memenangi kerusi majoriti Melayu dengan mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dan bertanding untuk mengambil alih negeri itu, kata P. Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata andaian PN untuk menang mudah di kawasan majoriti Melayu adalah berdasarkan tanggapan undi Melayu adalah sangat pro-PN.
“Tetapi ini mungkin tidak berlaku.
“Walaupun pakatan Pakatan Harapan-Barisan Nasional lemah dari segi meraih sokongan Melayu, tadbir urus yang baik di Pulau Pinang mungkin hanya menarik lebih banyak sokongan kepada parti berasaskan Melayu seperti PKR, Amanah dan Umno.
“Ramalan PN mengambil alih kawasan majoriti Melayu mungkin tidak tepat terutamanya dalam keadaan politik, sosial dan psikologi yang berubah,” kata pemimpin DAP itu.
Beliau juga berkata “gelombang hijau” yang dinikmati PAS dan Bersatu pada pilihan raya umum November lalu mungkin tidak akan berulang.
Beliau menambah imej PN sebagai “pakatan bersih dan suci” berkurangan akibat pertuduhan rasuah yang dilemparkan kepada pemimpin Bersatu tertentu.
Ramasamy berkata pemimpin dan penganalisis PN gagal mengambil kira hasil tadbir urus yang baik.
Beliau berkata kajian baru-baru ini mengenai pengundi Melayu di Pulau Pinang menunjukkan walaupun pengundi mungkin tidak bersetuju dengan DAP sebagai sebuah parti, mereka tidak menentang DAP mengetuai kerajaan negeri.
“Lebih sedikit daripada 50% pengundi Melayu berkata mereka tidak berdepan masalah dengan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.
“Bagi orang Melayu, naratif bangsa dan agama adalah penting.
“Naratif sebegitu mungkin menjadi titik tolak pilihan utama mereka ketika hendak membuang undi.
“Tetapi pada masa yang sama pengundi Melayu sangat rasional. Mereka berada dalam kedudukan untuk memisahkan fakta daripada fiksyen,” katanya.
Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN pada Jun tahun ini bersama lima negeri lain.
Pemimpin dan penganalisis PN meramalkan pakatan pembangkang akan memenangi majoriti kerusi Melayu dalam DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi.
Pada masa ini PH menduduki 33 kerusi manakala BN mempunyai dua.
PAS yang mewakili PN mempunyai satu kerusi. Empat lagi kerusi kosong selepas penyandangnya dipecat kerana berpaling tadah daripada PKR kepada Bersatu.
Daripada 33 kerusi PH, DAP mempunyai 19, yang sebahagian besarnya adalah kerusi campuran manakala PKR (12) dan Amanah (2) memegang kawasan yang didominasi orang Melayu. – 27 April, 2023.
Komen