Moscow ambil alih kawalan 2 firma tenaga asing


Presiden Russia Vladimir Putin menandatangani dekri meletakkan anak syarikat dua pembekal tenaga asing Russia. – Gambar AFP, 26 April, 2023.

PRESIDEN Russia Vladimir Putin menandatangani dekri meletakkan anak syarikat dua pembekal tenaga asing Russia – Uniper dari Jerman dan Fortum Oyj dari Finland – di bawah kawalan negara, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Dekri yang ditandatangani itu menyebut langkah itu adalah reaksi yang perlu terhadap ancaman nasionalisasi aset Russia di luar negara.

Menurut dekri itu, sekiranya aset negara Russia, syarikat Russia atau individu persendirian di luar negara dirampas, Moscow akan mengambil alih kawalan syarikat yang berasal dari negara asing yang sepadan.

Uniper mempunyai 83.73% kepentingan dalam anak syarikat Russia Unipro, yang selama bertahun-tahun membekalkan penghantaran gas asli ke Jerman.

Syarikat itu mengalami kesukaran tahun lalu susulan pemotongan bekalan gas Russia, didorong oleh sekatan Barat akibat pencerobohan Moscow ke atas Ukraine. Kerajaan Jerman akhirnya menasionalisasikan Uniper.

Anak syarikat Unipro kini akan berada di bawah pengurusan dana kekayaan negara Rosimushchestvo.

“Dekri itu tidak mengambil kira isu harta dan tidak melucutkan harta pemiliknya,” kata Rosimushchestvo dalam satu kenyataan.

Malah, sebelum pencerobohan Russia, Uniper telah berusaha untuk menjual pegangannya dalam Unipro. Seorang pembeli berminat namun pihak berkuasa Russia tidak pernah meluluskan penjualannya.

Uniper menghapus kira kerugian €4.4 bilion (AS$4.8 bilion) berhubung anak syarikat itu. – Bernama, 26 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen