Cerucuk besi mungkin mampu halang tanah runtuh, kata pihak berkuasa


Keadaan tanah berhampiran bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia yang runtuh semalam. – Gambar Facebook, 26 April, 2023.

PIHAK berkuasa sedang mempertimbangkan untuk memasang cerucuk besi di kawasan berhampiran bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang runtuh semalam, sebagai langkah untuk menghentikan hakisan tanah, kata Beh Eng Lai.

Ketua Polis Daerah Sentul itu berkata mereka menggunakan kanvas untuk menjamin kestabilan tanah di kawasan sekitar.

“Kami mendapati masih terdapat risiko satu lagi keruntuhan dan hakisan tanah. Menutup kawasan dengan kanvas sahaja mungkin tidak mengurangkan risiko.

“Jadi kami sedang memikirkan untuk menggunakan cerucuk besi bagi melindungi bangunan berhampiran, khususnya Institut Integriti Malaysia (IIM) dan MACA,” katanya kepada pemberita di tapak itu hari ini.

Bangunan SPRM di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur ditutup selepas tanah runtuh besar memusnahkan pos pengawal berhampiran pintu masuknya semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan berkata komander operasinya E. Yogeswaran, bersama tujuh yang lain dan sebuah jentera bomba, dikerahkan ke tempat kejadian.

“Mereka tiba di bangunan di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin dan mendapati tanah runtuh berlaku di pintu masuk bangunan itu dan pondok pengawalnya musnah.

“Kawasan terjejas dianggarkan 30m x 36m,” katanya.

Seramai 76 orang - 36 lelaki dan 40 wanita - yang berada di tempat kejadian telah dipindahkan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. – 26 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen