Taliban bunuh dalang serangan lapangan terbang Kabul 2021


Kejadian serangan bom di Lapangan Terbang Kabul pada 2021 mengorbankan 170 rakyat Afghanistan dan 13 anggota tentera AS. – Gambar AFP, 26 April, 2023.

KERAJAAN Taliban membunuh individu disyaki menjadi dalang serangan bom bunuh diri yang dahsyat di lapangan terbang Kabul semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2021, lapor media Amerika pada Selasa.

Memetik kenyataan daripada pengawai AS, pengebom itu meletupkan dirinya di tengah khalayak ramai yang sesak di perimeter lapangan terbang ketika mereka cuba melarikan diri dari Afghanistan pada 26 Ogos 2021. 

Letupan itu mengorbankan kira-kira 170 warga Afghanistan dan 13 tentera AS yang mengawal lapangan terbang.

Ia adalah salah satu pengeboman paling banyak meragut nyawa di Afghanistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan mencetuskan gelombang kritikan terhadap Presiden Joe Biden berhubung keputusannya memanggil balik tentera Amerika dari negara itu hampir 20 tahun selepas pencerobohan AS.

Pemimpin militan Isis yang merancang serangan itu dibunuh oleh pihak berkuasa Taliban beberapa minggu lalu, kata pegawai kanan pentadbiran AS memberitahu Politico dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Pegawai itu memberitahu Politico yang AS tidak terlibat dalam serbuan itu, dan tidak menyatakan bila ia berlaku atau mengenal pasti anggota Isis yang didakwa terbunuh kerana “sensitiviti.”

Tetapi pegawai itu berkata sasaran “adalah seseorang yang menjadi perancang utama, penyelia rancangan untuk Isis-K,” merujuk kepada Islamic State Khorasan, cawangan kumpulan itu yang beroperasi di Afghanistan dan Pakistan.

Pegawai itu berkata perisikan AS cuba mengesahkan pembunuhan itu, dan pentadbiran Biden menangguhkan pengumumannya sehingga keluarga 13 tentera AS dapat diberitahu.

“Kami tidak bekerjasama dengan Taliban, tetapi kami fikir keputusan itu penting,” kata pegawai kanan itu kepada Politico.

Penarikan diri, yang berakhir pada 30 Ogos 2021, menyaksikan pejuang Taliban mengenepikan tentera Afghanistan yang dilatih Barat dalam beberapa minggu sahaja, memaksa tentera AS melancarkan pemindahan terdesak dari lapangan terbang Kabul.

Operasi pengangkutan udara tentera yang tidak pernah berlaku sebelum ini berjaya membawa lebih 120,000 orang keluar dari negara itu dalam tempoh beberapa hari.

Biden sekian lama mempertahankan keputusannya untuk meninggalkan Afghanistan, yang dikatakan pengkritik membantu menyebabkan kejatuhan tentera Afghanistan dan membuka jalan untuk Taliban kembali berkuasa dua dekad selepas kerajaan pertama mereka digulingkan.

Laporan Washington Post baru-baru ini memetik dokumen Pentagon yang bocor berkata AS percaya sejak penarikan itu, Afghanistan menjadi “pusat” bagi kumpulan Isis.

Taliban dan Isis sekian lama terlibat dalam perang di Afghanistan, dan pakar berkata kumpulan itu cabaran keselamatan terbesar bagi kerajaan Afghanistan yang baharu pada masa hadapan. – AFP, 26 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen