JABATAN Negara Amerika Syarikat mempunyai kontrak bernilai hampir AS$500,000 (RM1.96 juta) dengan syarikat analisis data Britain yang kini berdepan tuduhan menyalah guna data pengguna Facebook dan menawarkan khidmat mendapatkan maklumat yang boleh menjejaskan pesaing pelanggannya.
Seorang pegawai jabatan memberitahu AFP semalam yang Pusat Hubungan Global (GEC) milik jabatan itu mempunyai kontrak dengan Kumpulan Strategic Communications Laboratories (SCL), syarikat induk Cambridge Analytica (CA).
Agensi kerajaan AS itu tidak mempunyai hubungan langsung dengan CA tetapi SCL mempunyai hubungan rapat dengan syarikat data raya itu dan Facebook mengumumkan penggantungan kedua-dua syarikat itu daripada media sosial utama dunia itu.
Rekod awam kontrak dalam laman sesawang kerajaan AS dilihat portal berita Defense One menyenaraikan kontrak itu bernilai AS$496,232 dan dianugerahkan kepada “SCL Group Ltd of London” pada 17 Februari 2017.
Pegawai Jabatan Negara mengatakan kontrak itu adalah untuk menyediakan “sokongan kajian dan analitikal berkaitan misi kami untuk memerangi propaganda pengganas dan salah maklumat di luar negara”.
“SCL, terutama sekali SCL Defense melakukan banyak kerja untuk kerajaan AS di masa dahulu dan syarikat utama dalam bidang kajian dan analisis,” katanya yang enggan dinamakan.
Pusat Hubungan Global ditubuhkan oleh bekas Presiden AS Barack Obama untuk menganalisis dan memerangi propaganda dalam talian dan rekruit pengganas oleh kumpulan pelampau seperti Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS).
Sejak Donald Trump berkuasa, Kongres memperuntukkan AS$120 juta kepada pusat itu untuk memerangi propaganda didakwa perisikan AS dilakukan Rusia untuk mempengaruhi kempen pilihan raya presiden 2016.
Tetapi bekas Setiausaha Negara Rex Tillerson yang dipecat minggu lepas tidak pernah menerima dana itu dan GEC terus menumpukan perhatian kepada memerangi propaganda pelampau dan bukannya propaganda dilakukan negara kuasa besar seperti China dan Rusia.
Menganalisi profile dalam talian suspek pengganas dan penyokong keganasan dan “sasaran mikro” untuk memerangi propaganda adalah kerja yang dilakukan syarikat gali data seperti SCL.
Tetapi Cambridge Analytica yang ditubuhkan pada 2013 untuk menawarkan bantuan pilihan raya dituduh menggunakan taktik kotor untuk mempengaruhi pengundi dalam demokrasi.
Facebook sudah menggantung akaun syarikat itu kerana didakwa membentuk 50 juta profile psikologi pengundi AS dalam usaha menyokong kempen Trump.
CA bagaimanapun menafikan dakwaan itu, syarikat itu juga kini berdepan dengan siasatan di Britain yang mahu memerika sistem komputernya kerana mencabul hak individu.
Tekanan makin bertambah apabila saluran berita, Channel 4 di Britan mendedahkan rakaman video eksekutif CA bercakap kepada wartawan yang menyamar sebagai bakal pelanggan tentang keupayaan syarikat mempengaruhi pengundi dengan cara tidak sah.
Rakaman itu turut mendedahkan eksekutif itu mendakwa CA secara rahsia bekerjasama dengan negara di Afrika dan Eropah termasuklah AS dalam kempen pilihan raya.
Eksekutif syarikat itu didakwa menggambarkan operasi CA termasuklah menggunakan bekas ejen perisik Britain dan Israel serta wanita Ukrain untuk memerangkap pesaing pelanggan mereka.
Syarikat itu menuduh Channel 4 sebagai “salah gambaran” dan mengatakan eksekutifnya sedang menilai kehendak bakal pelanggan sekiranya mereka mahukan khidmat tidak beretika yang tidak ditawarkan syarikat itu. – AFP, 20 Mac, 2018.
Komen