MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustaffa mengumumkan pelantikan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan sebagai ketua pengarah kesihatan baharu.
Pelantikan yang berkuatkuasa 21 April itu bagi menggantikan Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib bermula tarikh sama.
Dr Zaliha menyatakan keyakinan Dr Radzi akan menjadi rakan pasukan memastikan agenda reformasi kesihatan negara dilaksana dengan menyeluruh.
Ia selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan, katanya dalam satu kenyataan.
Zaliha berkata Muhammad Radzi dilantik berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah. Dr Muhammad Radzi pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 sehingga 2021.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas ketua pengarah Noor Hisham yang menjadi ikon negara kerana memainkan peranannya dalam mengemudi Malaysia daripada Covid-19 bersara Jumaat lalu selepas berkhidmat dengan kementerian kesihatan selama 35 tahun.
Beliau berkhidmat sebagai ketua pengarah selama 10 tahun. – 25 April, 2023.
Komen