Jepun pindahkan 45 rakyat dari Sudan, tutup kedutaan


Konflik yang berlanjutan di Sudan menyebabkan ratusan orang awam terbunuh dan ribuan cedera manakala mangsa yang terselamat menghadapi kekurangan bekalan elektrik serta makanan. – Gambar AFP, 25 April, 2023.

JEPUN memindahkan 45 warganegara dan pasangan mereka dari Sudan, dan menutup sementara kedutaannya, kata Perdana Menteri Fumio Kishida dan pegawai pada Selasa.

“Seramai 45 orang berlepas dari Sudan timur ke Djibouti dengan pesawat pengangkut C2 yang dihantar” oleh tentera Jepun, Kishida memberitahu pemberita pada awal pagi Selasa.

Beliau berkata empat lagi warga Jepun juga berjaya dibawa dari Sudan ke Djibouti dan Ethiopia dengan bantuan Perancis dan organisasi antarabangsa.

Beberapa jam kemudian, Kishida menambah lapan rakyat Jepun lagi meninggalkan Sudan, juga dengan bantuan Perancis.

“Dengan ini, pemindahan semua warga Jepun yang berada di Khartoum dengan harapan untuk berpindah selewat-lewatnya semalam… termasuk anggota kedutaan sudah selesai,” katanya kepada pemberita.

Menteri Luar Jepun dalam satu kenyataan berkata kedutaan itu kini ditutup buat sementara waktu selepas kakitangan dipindahkan.

Ia menubuhkan pejabat perhubungan di Djibouti untuk terus membantu baki warga Jepun di Sudan berpindah, kata kementerian itu.

Jepun berkata ia mempunyai kira-kira 60 rakyat di Sudan apabila memutuskan untuk mengeluarkan mereka dari Sudan yang dilanda konflik. – AFP, 25 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen