BN, PAS pilihan tetapi Pakatan masih menaruh harapan di Terengganu


Radzi Razak

Di Terengganu, bendera PAS dan Barisan Nasional menghiasi jalan dan bangunan, petanda sokongan rakyat di negeri Pantai Timur itu kukuh kepada dua parti utama negara itu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Pakatan Harapan ada peluang menang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2018.

KALAU dilihat dengan mata kasar, persaingan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini ternampak seolah-olah hanya antara Barisan Nasional (BN) dan PAS, malah tiada tanda jelas Pakatan Harapan (PH) diketuai Amanah sudah menembusi negeri pantai timur itu.

Di sepanjang laluan Jalan Persekutuan Tiga yang menghubungkan bandar dan pekan di negeri pantai timur itu, hanya bendera dua parti politik saja yang kelihatan: BN dan PAS.

Kalau ditanya pula kepada penduduk di Terengganu, rata-ratanya menyatakan sokongan kepada hanya dua parti, sama ada BN yang ditunjangi oleh Umno atau PAS, yang pernah memerintah negeri sepenggal selepas PRU1999.

Mereka umumnya yakin PH tidak akan mampu mengatasi penguasaan dua parti tradisional orang Melayu- Umno dan PAS- dalam politik di negeri itu.

“Itulah ceritanya di sini. Penyokong banyak BN, ada yang sokong PAS tapi yang lain tu kurang sikit dengar,” kata Zahari Ali, seorang peniaga dari Chukai di Kemaman, kira-kira 130 kilometer dari Kuala Terengganu.

Walaupun Amanah yang mengetuai kempen PH di Terengganu pada PRU14 ini mendakwa ia pengganti kepada PAS, pada mata kasarnya tidak begitu, kata seorang pengundi berusia 63 tahun di Dungun yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman.

“Kamu jalan sepanjang jalan pantai dan kira berapa ada bendera PAS. Selagi bendera PAN (Amanah) dan yang lain tak sama banyak dengan bendera PAS dan BN, jangan haraplah (PH) nak menang,” katanya yang mahu dipanggil Pak Man, sambil menunding jari kepada barisan bendera besar PAS yang dipasang di tepi jalan.

BN yakin

PAS membuat kejutan pada 1999 apabila menumbangkan BN di Terengganu dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi negeri.

Selain peralihan undi Melayu yang berlaku di seluruh Semenanjung Malaysia susulan pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno setahun sebelumnya, faktor Wan Mokhtar Wan Ahmad yang sudah jadi menteri besar sejak 1974 juga menyumbang kepada kekalahan BN.

Tetapi PAS hanya berkuasa di Terengganu untuk sepenggal sahaja. Pada PRU2004, BN kembali merampas negeri itu dengan jumlah kemenangan yang sama, 28 kerusi negeri jadi miliknya, PAS hanya mampu kekal di empat kerusi.

PAS bagaimanapun bangkit semula pada PRU13 tetapi masih tidak berupaya mengambil semula pemerintahan negeri itu. BN menang 17 kerusi, PAS 14 kerusi dan PKR hanya mendapat kerusi tunggal, DUN Bandar dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Menjelang PRU14 ini, BN yakin akan memperbaiki prestasinya lima tahun lalu.

Di Pantai Batu Burok, Terengganu seorang lelaki sedang berlari ketika senja. Negeri Pantai Timur itu akan menjadi medan tempur antara pesaing utama, BN dan PAS. Kemampuan Pakatan Harapan menerusi Amanah untuk menembusi negeri majoriti Melayu Islam itu masih dalam persoalan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2018.

Ketua Penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata bersandarkan gerak kerja parti dan dikukuhkan dengan kaji selidik oleh pelbagai pihak, BN mampu meraih sekurang-kurangnya 24 daripada 32 kerusi negeri di Terengganu.

“Saya yakin kita berada di landasan yang betul dan hasil daripada kerja kuat oleh semua jentera kita selama ini, dengan permuafakatan yang terjalin, kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya,” katanya, ketika ditemui di majlis Taklimat Kesiapsiagaan PRU14 Umno Kemaman minggu lalu.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata BN akan memperkenalkan manifesto khas negeri tidak lama lagi, yang kini menunggu kelulusan Perdana Menteri Najib Razak selaku pengerusi BN pusat.

“Kita mampu laksanakan semua janji dalam manifesto berdasarkan rekod cemerlang BN di peringkat persekutuan dan negeri. Tidak ada satu pun kita hutang kepada rakyat, semua kita dah buat dan itu tanda kecemerlangan perkhidmatan BN Terengganu selama ini,” katanya.

Selain memperbaiki rekod kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN), BN Terengganu juga mahu merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terlepas kepada pembangkang sejak 1999.

Pada PRU13, pembangkang tidak hanya menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu malah menyapu bersih empat kerusi negeri dalam kawasan itu iaitu Bandar, Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam.

Kawasan Kuala Terengganu adalah antara kawasan tumpuan pada PRU14 kerana dua pemimpin kanan Pakatan akan bertanding di situ.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang juga pengerusi Pakatan negeri dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu sementara Ketua PKR negeri Azan Ismail akan mempertahankan kerusi DUN Bandar.

PAS juga yakin

Bagaimanapun, PAS juga ada keyakinan yang sama mampu menang sekurang-kurangnya 22 kerusi negeri dengan menambah lapan kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Besut dan Setiu yang merupakan kubu kuat BN, kata Timbalan Pesuruhjaya II Pas Terengganu Dr Alias Razak.

“Kita cakap atas fakta, saya tidak suka hendak reka sebab kita ada kajian dan culaan dan kita mencula setiap pengundi bagi melihat kecenderungan mereka.

“Kalau pada hari pengundian nanti pengundi pilih lain, itu lain cerita tetapi sekarang ini, begitu keadaannya,” katanya.

PAS dilihat mahu menyasarkan sokongan daripada pengundi muda dan wanita berdasarkan janji pilihan rayanya yang sudah terpampang di Jalan Persekutuan Tiga atau lebih dikenali sebagai Jalan Pantai, walaupun parti Islam itu belum melancarkan manifesto negerinya secara rasmi.

Antara janji PAS kepada pengundi Terengganu ialah kahwin percuma bagi pasangan pertama kali berkahwin selain pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan dan cuti 30 hari kepada kakitangan kerajaan yang kematian suami.

Beberapa kajian termasuk yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Invoke bagaimanapun merumuskan PAS langsung tidak berpeluang di Terengganu.

Wanita dan orang muda jadi sasaran kempen Pakatan Harapan di Terengganu dan pembangkang nasional itu yakin manifesto mereka akan menarik dua kumpulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Mac, 2018.

PH masih yakin

Sementara itu, PH mengakui statusnya sebagai “underdog” di Terengganu tetapi yakin akan dapat meraih sokongan pengundi muda dan wanita, kata Ketua Penerangan PH Terengganu Hambali Abdul Latif.

“Pengundi senior, saluran satu dan dua inilah yang memang terang-terang menyokong sama ada biru atau hijau.

“Orang muda dan wanita ini lebih terdedah dengan maklumat dan kita boleh jangka dapat sokongan dari mereka,” katanya.

Pengundi muda berumur tidak lebih 40 berjumlah sekitar 394,00 orang atau 53% daripada keseluruhan 737,940 pengundi berdaftar di Terengganu.

“Suri rumah dan wanita golongan penting juga. Mereka selalunya belanja wang untuk anak-anak dan isi rumah dan buat keputusan untuk keluarga,” katanya.

Beliau yakin janji PH terutamanya meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan agihan yang lebih bermanfaat serta pemberian wang kepada suri rumah akan menarik sokongan golongan wanita. – 25 Mac, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kalau dah tiada harapan nak menang disitu xperlu la nak bertanding lagi.. rakyat dah jelas lagi terang xmau pakatan harapan, lagi muka tersorong nak tunjuk kat situ.. rakyat terangganu dah serik dengan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan