MCA tidak tahu sebarang komplot guling kerajaan Anwar


Presiden MCA Wee Ka Siong menepis dakwaan terbabit dengan komplot guling kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2023.

MCA tidak terlibat atau mengetahui sebarang rancangan untuk menggulingkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya, kata presiden parti itu Wee Ka Siong.

Wee berkata mereka tidak tahu mengenai sebarang tindakan sedemikian untuk menyingkirkan kerajaan.

“Berita portal (The Vibes) ini tidak berasas, yang tidak pernah menyebut sumber mereka.

“Portal itu cuma berkata ada usaha untuk menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

“Tunjukkan kepada kami bukti bagaimana kami terlibat,” katanya di Facebook hari ini.

Wee mengulas laporan portal berita The Vibes yang terdapat percubaan untuk menyingkirkan Anwar lima bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

Memetik sumber, The Vibes melaporkan terdapat mereka dalam lingkungan politik yang berhasrat untuk menggulingkan perdana menteri, satu langkah yang boleh mencetuskan pilihan raya kecil.

Portal itu juga menyebut Wee dan Ahli Parlimen Tanjung Piai MCA Wee Jeck Seng adalah antara 10 ahli Parlimen yang menjadi sebahagian daripada rancangan itu.

Awal hari ini, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata rancangan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan Anwar, seperti dilaporkan oleh The Vibes tidak berasas.

Faizal berkata matlamat utama PN sekarang adalah untuk memberi tumpuan kepada enam pilihan raya negeri yang akan diadakan selepas Jun.

“Sejujurnya, saya tidak mendengar rancangan sedemikian. Dakwaan itu tidak berasas,” katanya.

Wee juga berkata laporan baharu itu mesti dikecam.

“Bagaimana Wee dan nama saya boleh disebut? Mereka di luar sana boleh menulis apa sahaja khabar angin yang mereka mahu. Tetapi, bagi saya, presiden MCA, memandang serius perkara ini.

“Maklumat media harus berdasarkan fakta yang disemak. Laporan mereka karut dan tidak berasas.”

Tambahnya, tiada logik bagi cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

“Minat kami ialah ekonomi dan membantu rakyat yang menghadapi kesusahan. Itu perjuangan kami.” – 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen