'Lelaki berpakaian tentera' bunuh 60 penduduk kampung di Burkina Faso


Sejak 2015, Burkina Faso bergelut untuk melawan serangan militan yang semakin kerap dan meragut nyawa orang awam. – Gambar EPA, 24 April, 2023.

KIRA-KIRA 60 orang awam terbunuh di sebuah kampung di utara Burkina Faso oleh sekumpulan lelaki berpakaian seragam tentera, kata pendakwa raya tempatan lewat semalam, mengumumkan siasatan terhadap pertumpahan darah terbaru di negara yang dilanda pemberontakan itu.

Serangan didakwa dilakukan militan semakin meningkat di Burkina Faso, yang sedang memerangi pemberontakan yang merebak dari negara jiran Mali.

“Kira-kira 60 orang terbunuh oleh individu berpakaian seragam angkatan tentera negara kita” pada Khamis di kampung Karma, di wilayah Yatenga utara, kata pendakwa Mahkamah Tinggi Ouahigouya, Lamine Kabore kepada AFP dalam satu kenyataan.

“Mereka yang cedera dipindahkan dan kini sedang dijaga di dalam kemudahan kesihatan kami,” katanya, sambil menambah pelaku turut mengambil pelbagai barangan.

Kampung Karma terletak berhampiran sempadan Mali dan menarik ramai pelombong emas haram.

Menurut penduduk yang dihubungi AFP, mangsa yang terselamat berkata lebih 100 orang menaiki motosikal dan trak pikap menyerbu kampung itu.

Mangsa yang terselamat memberi jumlah kira-kira 80 maut.

Pertumpahan darah terbaru berlaku seminggu selepas 34 sukarelawan pertahanan dan enam askar terbunuh dalam serangan yang disyaki dilakukan militan berhampiran perkampungan Aorema, kira-kira 15km dari ibu kota wilayah Ouahigouya dan 40km dari Karma.

Berikutan serangan itu, junta tentera Burkina Faso mengisytiharkan gerakan untuk memerangi rentetan serangan berdarah yang dipersalahkan kepada pejuang yang bergabung dengan Al-Qaeda dan Daesh.

Dekri itu menyatakan sesiapa yang berumur lebih 18 tahun dan sihat fizikal yang tidak berada dalam angkatan tentera akan dipanggil untuk mendaftar mengikut keperluan yang dinyatakan oleh pihak berkuasa.

Kerajaan mengumumkan rancangan untuk merekrut 5,000 lagi tentera bagi memerangi pemberontakan yang mencengkam negara sejak 2015.

Kapten Ibrahim Traore, presiden peralihan Burkina mengisytiharkan matlamat untuk menawan semula 40% wilayah negara itu, yang dikawal oleh militan.

Keganasan itu menyebabkan lebih 10,000 orang terbunuh, menurut kumpulan bantuan, dan menyebabkan 2 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Kemarahan dalam kalangan tentera terhadap jumlah korban yang semakin meningkat mencetuskan dua rampasan kuasa tahun lalu, yang terbaru adalah pada September, apabila Traore merampas kuasa.

Beliau berpegang pada ikrar yang dibuat oleh junta sebelumnya untuk mengadakan pilihan raya bagi kerajaan awam menjelang tahun depan. – AFP, 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen