Beberapa negara mula bawa keluar rakyat masing-masing dari Sudan


Konvoi yang meninggalkan Khartoum bergerak ke arah Pelabuhan Sudan semalam ketika orang ramai meninggalkan ibu kota Sudan yang dilanda pertempuran. – Bernama, 24 April, 2023.

BEBERAPA negara mula memindahkan rakyat mereka dari Sudan ketika pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, pertempuran itu setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 cedera. 

Pihak berkuasa Mesir semalam memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat, menurut  Kementerian Luar Mesir.

Misi diplomatik Mesir di Khartoum, Pelabuhan Sudan dan Wadi Halfa akan terus berkoordinasi dengan warga Mesir di Sudan untuk memastikan proses pemindahan mereka berjalan lancar, lapor Xinhua.

Setakat ini, kira-kira lebih 10,000 rakyat Mesir dilaporkan berada di Sudan.

Sejak bermulanya konflik di Sudan pada 15 April lalu, syarikat penerbangan Mesir EgyptAir menangguhkan penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.

Sementara itu Kementerian Luar TUNISIA mengumumkan semalam pemindahan rakyatnya dari  Khartoum akan bermula hari ini.

Di ACCRA, menurut Kementerian Luar Ghana, persiapan sedang diatur untuk memindahkan warga Ghana yang terkandas di Sudan.

“Sebilangan warga Ghana, khususnya pelajar terjejas akibat konflik itu. Namun kesemua mereka dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.

Di ROM, Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata orang awam dan diplomat Itali yang mahu meninggalkan Sudan sudah pun dibawa keluar dari Khartoum menuju ke Djibouti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Saya bangga dengan kerja berpasukan yang membawa kepada kejayaan operasi pemindahan yang rumit itu,” tulis Tajani di Twitter.

Tajani sebelum ini mengumumkan pemindahan kira-kira 200 orang awam dan kakitangan kedutaan termasuk rakyat Switzerland, pekerja kedutaan Vatican dan kira-kira 20 lagi warga Eropah.

Sementara itu, kerajaan SEPANYOL juga sudah memindahkan rakyat dan diplomatnya, kata Menteri Luar José Manuel Albares.

“Kami mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan menyambung semula dialog di Sudan,” katanya di Twitter.

Menteri Pertahanan Margarita Robles sebelum ini berkata Sepanyol merancang untuk menempatkan sejumlah enam pesawat sebagai sebahagian daripada operasi pemindahan. – Bernama, 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen