Tol percuma tidak beri manfaat kepada rakyat Sabah, Sarawak, kata Syed Sadiq


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata langkah bebas tol sebahagian besarnya memenuhi keperluan penduduk di semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2023.

KEPUTUSAN Putrajaya memberi subsidi RM93 juta bagi melaksanakan tol percuma selama empat hari pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata ini kerana langkah bebas tol itu sebahagian besarnya memenuhi keperluan penduduk di semenanjung.

“Hakikatnya hampir semua mereka (yang mendapat manfaat) berada di Semenanjung Malaysia. Dan jumlah kos subsidi adalah kira-kira RM93 juta.

“Apabila pengumuman itu dibuat, ramai rakyat Sabah dan Sarawak berkongsi kebimbangan mereka,” katanya seperti dilaporkan dalam Borneo Post Online.

Presiden Muda itu berkata kerajaan sepatutnya membantu rakyat Sabah dan Sarawak dengan beberapa bentuk subsidi lain.

Salah satu caranya katanya adalah dengan mengurangkan kos tiket penerbangan supaya rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di semenanjung boleh pulang berhari raya.

“Ini khas untuk mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Mereka ini adalah pelajar yang hanya boleh terbang pulang berjumpa keluarga sekali atau dua kali setahun atau mereka yang datang dari keluarga B40 dan kelas pertengahan yang hanya boleh terbang balik sekali atau dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata kenaikan harga tambang penerbangan perlu ditangani kerana rakyat Sabah dan Sarawak amat bergantung kepada penggunaan perkhidmatan udara.

Selain memberi subsidi tambang penerbangan Syed Saddiq juga berkata penyelesaian menyeluruh diperlukan supaya harga tambang pada musim perayaan dapat ditetapkan di bawah harga siling.

Beliau menggesa Putrajaya membincangkan isu itu dengan syarikat penerbangan untuk mencari penyelesaian jangka panjang yang boleh disesuaikan dengan perkhidmatan dan laluan eksklusif mereka.

Kerajaan persekutuan menarik balik semua caj tol di lebuh raya negara selama empat hari dari 19-21 April dan pada 24 April, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban kewangan berjuta-juta rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman mereka untuk Hari Raya. – Bernama, 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen