FIRMA komunikasi, Cambridge Analytica semalam “menafikan sekerasnya” dakwaan ia menuai data 50 juta pengguna Facebook untuk kempen pilihan raya Donald Trump ketika Britain bersedia meminta arahan mahkamah untuk membenarkan akses kepada sistem syarikat itu.
Syarikat analisis data Britain itu diupah Trump pada 2016 untuk membantu kempennya, mengatakan sumber tuduhan- yang digelarnya “bekas kontraktor”- bertindak “mewakili dirinya dan syarikat itu dengan salah”.
“Data Facebook tidak digunakan oleh Cambridge Analytica dalam perkhidmatan ditawarkan kepada kempen presiden Donald Trump; pengiklanan bersasar personaliti juga tidak dilakukan untuk pelanggan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan siasatan bersama dilakukan akhbar The New York Times dan Observer, syarikat itu berupaya membentuk profil psikologikal terhadap 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi personaliti yang dimuat turun 270,000 orang dengan menuai data Facebook.
Facebook menggantung akaun Cambridge Analytica dan mengatakan akan menyiasat dakwaan itu, tetapi menafikan wujudnya kebocoran dalam sistem, sebaliknya penyalahgunaan data itu hanya terhad kepada sekumpulan kecil pengguna.
Harga sahamnya jatuh mendadak semalam, ketika pegawai kerajaan AS dan Britain mendesak siasatan dijalankan.
Pesuruhjaya Maklumat Britain Elizabeth Denham yang bertanggungjawab mengawal selia data raya di negara itu mengumumkan pejabatnya akan mendapatkan arahan mahkamah hari ini untuk melakukan siasatan ke atas sistem komputer Cambridge Analytica.
Katanya, syarikat itu “tidak memberikan kerjasama” kepada permohonan untuk mengakses rekodnya yang berakhir semalam.
“Suruhanjaya Maklumat sedang memohon waran untuk mendapatkan maklumat dan akses kepada sistem dan bukti berkaitan siasatan ini,” kata pejabat Denham dalam satu kenyataan.
Kenyataan turut menyebut yang Facebook bersetuju untuk “mengalah” daripada “menyerbu” sistem di pejabat Cambridge Analytica atas “permintaan suruhanjaya”.
“Pencarian sebegitu boleh menjejaskan siasatan suruhanjaya,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, dakwaan terbaru ke atas eksekutif kanan Cambridge Analytica juga muncul petang semalam.
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Alexander Nix dalam satu rakaman video rahsia dikeluarkan oleh Channel 4 News di Britain mengatakan syarikat itu berupaya “memerangkap” ahli politik dengan memberikan rasuah dan jerat pekerja seks, serta menggunakan bekas perisik untuk mencari maklumat buruk tentang musuh pelanggan mereka.
Katanya juga, syarikat itu secara rahsia berkempen dalam pilihan raya di seluruh dunia termasuk beroperasi menerusi syarikat palsu dan menggunakan sub kontraktor.
Jurucakap Cambridge Analytica memberitahu program berita itu yang syarikat itu tidak menggunakan “apa sahaja bahan tidak benar untuk apa-apa tujuan”.
“Kami sepenuhnya menafikan dakwaan yang Cambridge Analytica atau mana-mana pihak berkaitan dengannya menggunakan perangkap, rasuah, atau ‘jerat wanita’ untuk apa sahaja matlamat,” katanya. – AFP, 20 Mac, 2018.
Komen