3 DUN PAS dibubar Jun ini, kata Nik Mohd Amar


Mohd Amar berkata PRN akan dijalankan pada Julai ini. – Gambar Unit Media Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan, 16 April, 2023.

TIGA Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran PAS dijangka akan dibubarkan Jun ini untuk pilihan raya negeri (PRN), kata Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib Presiden PAS itu berkata tiga negeri tersebut ialah Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Timbalan menteri besar Kelantan itu juga berkata tiga lagi negeri di bawah Pakatan Harapan - Negeri Sembilan, Penang dan Selangor juga sudah bersetuju untuk membubarkan DUN pada Jun ini.

“Kelantan sudah putuskan untuk bubar DUN pada hujung Jun dan saya diberitahu tarikh pembubaran untuk lima negeri tersebut akan dilakukan secara berperingkat namun semuanya pada Jun ini,” katanya seperti dilaporkan The New Straits ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Ahmad Yakob, hari ini.

Kata Mohd Amar, PRN akan dijalankan pada Julai ini.

Dalam PRN tersebut, Mohd Amar berkata PAS akan mempertahankan 37 kerusi di Kelantan sementara Bersatu akan mempertahankan lapan kerusi.

Kataya lagi formula pembahagian kerusi yang digunakan masih sama dengan formula pada pilihan raya umum lalu.

“Kita guna formula sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di mana Parlimen yang dimenangi BN diserahkan kepada Bersatu untuk bertanding.

“Keputusan ini dicapai hasil pertemuan dan perbincangan yang dijalankan sebelum-sebelumnya.

“Jika ada perubahan selepas ini, akan dimaklumkan semula,” katanya.

Nik Amar berkata PAS sudah mempunyai senarai calon.

Jelasnya Menteri Besar Ahmad Yaakob yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan akan membuat keputusan akhir bagi calon PRN tersebut.

Perikatan Nasional, di mana PAS merupakan parti komponen berkata gabungan itu akan menggunakan logo PAS seperti PRU lalu. – 23 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen