Bukan kaunter ikat jamin tutup awal, penjamin yang tidak hadir, kata Istana Kehakiman


Empat daripada 10 tertuduh diikat jamin lebih awal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2023.

PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menolak dakwaan kaunter ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ditutup awal hingga menyebabkan enam tertuduh terpaksa meringkuk di penjara pada cuti hari raya ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pendaftar sebaliknya memberitahu enam penjamin itu tidak hadir ke mahkamah untuk proses ikat jamin tersebut.

Beliau juga mengesahkan 10 tertuduh dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah.

“Pejabat Ketua Pendaftar ingin menjelaskan laporan (berita) yang menyatakan kaunter jamin ditutup awal tidak benar.

“Kes yang dinyatakan dalam laporan portal itu membabitkan 10 orang tertuduh dan mahkamah membenarkan semua tertuduh dijamin.

“Namun demikian hanya penjamin bagi empat orang tertuduh sahaja yang hadir bagi meneruskan proses jamin manakala penjamin bagi enam orang baki tertuduh tiada di mahkamah untuk menguruskan proses jaminan,” katanya.

Katanya kehadiran penjamin untuk menguruskan proses jamin sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi bagi membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin yang bertanggungjawab dalam jaminan itu.

“Proses jamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat disempurnakan selepas penjamin bagi keenam-enam mereka tidak dapat dikemuka sehingga jam 4 petang,” katanya.

Pada Khamis sebuah portal melaporkan enam individu berdepan tuduhan konspirasi jenayah dengan niat untuk menipu terpaksa meringkuk dalam penjara selepas tidak dapat dijamin susulan kaunter ikat jamin ditutup awal.

Enam individu tersebut – Liew Zhen Ying, Koh Zheng Yan, Renee Low, Foo Wei Xuan, Liew Zhen Shen dan Wong Wai Hong – terpaksa berhujung minggu di Penjara Sungai Buloh.

Empat lagi – Law Si Kai, Tan Jia Jing, Ching Chung Haw dan Xu Shao Rong yang turut didakwa atas pertuduhan sama berjaya diikat jamin lebih awal.

Peguam Alvin Tan yang mewakili tertuduh mendakwa pegawai mahkamah menutup kaunter pendaftaran pada jam 2.53 petang meskipun notis waktu pejabat menyatakan dibuka sehingga jam 4.30 petang.

Tan memberitahu portal berita itu keluarga tertuduh merayu kepada kakitangan mahkamah namun tidak berjaya.

“Kakitangan kaunter berkata penutupan itu atas arahan pengurusan Mahkamah Kuala Lumpur,” kata Tan seperti dilaporkan.

Dakwanya dua tertuduh yang dinafikan ikat jaminannya itu tidak sihat. – 23 April, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen