Hamas ‘dalang’ serangan ke atas PM Israel, kata Abbas


Konvoi Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah diserang ketika memasuki Gaza, kejadian yang sekiranya berjaya membunuh perdana menteri itu boleh mewujudkan perang saudara berdarah. – Gambar AFP, 20 Mac, 2018.

PRESIDEN Palestin Mahmud Abbas semalam secara terbuka menuduh Hamas bertanggungjawab dalam serangan bom ke atas Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah di Gaza minggu lepas, tuduhan yang mengancam hubungan antara dua kumpulan berpengaruh di wilayah bergolak itu.

Abbas sebelum ini menuduh kumpulan Islam itu bertanggungjawab kerana ia mengawal keselamatan di daerah Palestin itu, dan petang semalam mendakwa Hamas adalah “dalang serangan.”

Hamdallah tidak cedera dalam serangan 13 Mac lalu, yang menyaksikan sebuah bom meletup di tepi jalan ketika konvoi perdana menteri itu memasuk Gaza, kejadian yang disifatkan pegawai Palestin sebagai cubaan bunuh.

Enam pegawai keselamatan Hamdallah cedera ringan.

Bercakap kepada pemimpin Palestin di Tebing Barat, Abbas berkata sekiranya serangan itu berjaya ia “akan membuka jalan perang saudara berdarah.”

Katanya lagi, kejadian itu “tidak boleh dibiarkan” dan mengumumkan beliau akan mengambil “tindakan nasional, perundangan dan kewangan” walaupun tidak menjelaskan secara terperinci.

Hamas menyelar kenyataan Abbas yang dianggap “pendirian provokasi” mengatakan pasukan keselamatannya masih menyiasat punca sebenar letupan itu.

Hubungan kumpulan Islam dan parti Fatah pimpinan Abbas sentiasa dalam keadaan tegang sejak 2007 apabila Hamas berjaya mengawal Gaza.

Abbas mengawal kerajaan Palestin yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, berpangkalan di Tebing Barat yang diterajui Hamdallah.

Abbas sebelum ini sudah mengambil beberapa tindakan keras termasuklah mengurangkan elektrik kepada dua juta penduduk Gaza, tindakan disifatkan penganalisis untuk menghukum Hamas.

Oktober lalu, Hamas dan Fatah bersetuju untuk perjanjan damai tetapi tidak berjaya dilaksanakan. – AFP, 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen