PAS akan bertanding semua 37 kerusi negeri yang disandangnya sekarang sementara baki lapan kerusi akan ditandingi oleh Bersatu pada pilihan raya yang akan diadakan pertengahan tahun ini, kata timbalan pesuruhjaya parti negeri Mohd Amar Abdullah.
“Kita guna formula sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di mana Parlimen yang dimenangi BN diserahkan kepada Bersatu untuk bertanding.
“Keputusan ini dicapai hasil pertemuan dan perbincangan yang dijalankan sebelum-sebelumnya.
“Jika akan perubahan selepas ini akan dimaklumkan semula,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.
Sementara itu, Mohd Amar juga dipetik memberitahu persiapan PAS untuk pilihan raya negeri itu sudah berada pada tahap maksimum.
Katanya, PAS sudah ada senarai nama yang akan diangkat sebagai calon tetapi tergantung pada tapisan akhir dan keputusan Menteri Besar Ahmad Yaakob, yang juga pesuruhjaya PAS negeri.
Perikatan Nasional baru-baru ini mengesahkan akan mengekalkan juga lambang PAS pada pilihan raya negeri, sama seperti strategi yang dipakai semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
Pilihan raya negeri bagi enam negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu – dijangka berlangsung selepas minggu kedua Ogos.
Pada hujung Februari lepas, enam menteri besar dan ketua menteri yang terlibat setuju untuk membubarkan dewan undangan negeri di negeri masing-masing dalam dua minggu akhir Jun nanti.
Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu. – 23 April, 2023.
Komen