Bekas speaker Parlimen Indonesia dikurangi sebulan hukuman penjara


Bekas speaker Parlimen Indonesia Setya Novanto yang juga bekas pengerusi Golkar dihukum penjara selepas sabit tuduhan rasuah pada April 2018.– Gambar AFP, 23 April, 2023.

BEKAS speaker Parlimen Indonesia Setya Novanto yang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana sabitan kes rasuah kad pengenalan digital diberikan pengurangan tempoh hukuman selama sebulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor media.

Beliau yang dijadual menjalani hukuman sehingga tahun 2033 adalah antara 208 tahanan di penjara Sukamiskin di Bandung yang diberikan pengurangan tempoh tahanan khas hari raya kali ini.

Novanto yang juga bekas pengerusi Golkar dihukum penjara selepas sabit tuduhan rasuah pada April 2018.

Beliau dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk meminta komisyen daripada syarikat yang mendapat kontrak kad pengenalan elektronik berkenaan, dan dengan itu merugikan negara.

Sepanjang menjalani hukuman, beliau bagaimanapun mencetuskan kontroversi antara lain kerana dilapor diberikan layanan istimewa di penjara termasuk saiz sel yang dua kali ganda lebih luas berbanding tahanan lain.

Beliau juga didakwa mendapat akses kepada telefon selular.

Pihak penjara juga menjelaskan Novanto ditempatkan di sel mewah kerana beliau sakit jantung.

Novanto kemudian beberapa kali keluar penjara atas alasan mendapatkan rawatan kesihatan, namun dikesan mengunjungi sebuah restoran nasi Padang dan pada satu ketika lain berjalan-jalan bersama isterinya. – 23 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen