Pakatan sedar tentangan sengit Perikatan di Selangor


Ravin Palanisamy

Pemimpin Pakatan Harapan di Selangor menjangkakan cabaran getir daripada Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2023.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) di Selangor menjangkakan cabaran getir daripada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang tetapi mereka yakin dapat mengatasi pesaing politik mereka di negeri itu.

Mereka berpandangan majoriti pengundi yakin dengan pentadbiran negeri pimpinan PKR sejak 15 tahun lalu, yang dirasakan boleh membawa mereka kembali kepada kemenangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan dari PKR dan bekas anggota eksekutif Elizabeth Wong bagaimanapun memberi amaran PH harus berhati-hati dengan ancaman PN, terutamanya dengan parti Islam PAS berada di pihak mereka.

“PN mendapat faedah dengan mempunyai PAS, sebuah parti yang berada dalam kerajaan Selangor selama sedekad, dari 2008 hingga 2018.

“PAS juga tahu selok-belok Selangor dan mereka akan tahu kekuatan dan kelemahan PH.

“Jadi, ia akan menjadi pertarungan yang sangat sukar berbanding pilihan raya lain. Kami perlu benar-benar bersedia,” kata wakil rakyat yang berkhidmat selama tiga penggal itu kepada The Malaysian Insight.

Wong juga berkata, pengundi di Selangor amat mengetahui dasar dan inisiatif yang diwujudkan di negeri itu oleh pentadbiran pimpinan PKR.

Beliau berkata ia boleh memacu undi rakyat Selangor.

“Terdapat beberapa dasar dan inisiatif diwujudkan di bawah kerajaan Selangor.

“Dasar kami sangat jelas. Melalui dasar yang dibentuk dengan baik, kami dapat memberi bantuan berasaskan ekonomi seperti air percuma, insurans, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

“Ia sangat mudah, apa sahaja yang kita perolehi, kita mahu pulangkan kepada rakyat,” kata ahli majlis pimpinan pusat PKR itu.

Terdapat kira-kira 44 insentif untuk rakyat Selangor daripada pelbagai golongan mendapat manfaat di bawah Iltizam Selangor Penyayang.

Wong juga berkata orang ramai lebih suka mempunyai parti atau gabungan yang sama untuk berada di peringkat persekutuan dan di peringkat negeri.

“Dalam PRU15, kami memenangi kerusi Parlimen utama di Selangor,” katanya.

“Saya rasa rakyat di Selangor tahu apa yang dipertaruhkan. Ini bukan sebarang pilihan raya negeri. Rakyat Selangor tahu apakah implikasi yang mungkin berlaku jika PN mengambil alih kerajaan negeri.

“Jadi, saya rasa suara pengundi di Selangor amat jelas mengenai siapa mereka mahu memimpin negara dan juga negeri,” tegas Wong.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kuala Selangor Thiban Subramaniam turut bersetuju dengan Wong, berkata rakyat Selangor sudah terbiasa dengan faedah dan dasar yang dilaksanakan di negeri itu.

Katanya, pengundi sudah pun membuat perbandingan dengan negeri lain yang diterajui parti lawan dan ia memberi pilihan mudah kepada pengundi untuk mengekalkan kerajaan pimpinan PKR di Selangor.

“Rakyat kini sedang membandingkan perbezaan negeri yang diterajui kerajaan lain. Contohnya negeri pimpinan PAS – Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Kita tidak boleh hanya kitar semula dengan faedah air percuma. Jadi, negeri ini memperkenalkan program Insurans Hayat Selangor (Insan), yang menyediakan insurans am percuma untuk enam juta individu dengan perlindungan RM10,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh disebabkan kemalangan.

“Kemudian negeri memulakan program Jelajah Ehsan Rakyat yang menawarkan barangan asas pada harga mampu milik. Kerajaan negeri memberi subsidi barangan yang dijual di sini.

“Kemudian pada 2020, negeri memperkenalkan program Roda Darul Ehsan (RiDE), yang menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus p-hailing bernilai RM150 dan sumbangan Perkeso RM70 setahun. Ini sangat menarik minat belia.

“Selain itu, terdapat juga baucar beli-belah yang diberikan kepada kumpulan masyarakat tertentu di negeri ini.

“Oleh itu, sama seperti ini, Selangor sentiasa memperkenalkan sesuatu yang baharu dan menjaga rakyat mereka. Jadi, mengapa rakyat Selangor akan mengetepikan kerajaan sedia ada? Saya fikir selama ini, ia hanya mengukuhkan pentadbiran pimpinan PKR,” kata Thiban.

Kerajaan perpaduan di peringkat negeri

Thiban juga percaya kerjasama PH dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan boleh memberikan kedua-dua gabungan itu kelebihan mengatasi PN di kerusi panas.

“Sekarang PH dan BN menjalinkan hubungan kerja di peringkat persekutuan, kita harap sokongan itu diterjemahkan ke peringkat negeri.

“Jadi, ini bermakna, ada kemungkinan gabungan undi PH dan BN boleh mengalahkan PN di beberapa kerusi.

“Ini satu kelebihan untuk PH dan BN,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin juga berkata PH dan BN harus saling melengkapi untuk memberi pengundi di Selangor dimensi baharu dan lebih kukuh.

“Kita mungkin tidak boleh mengatakan ia akan menjadi kerajaan PH di Selangor tetapi ia akan menjadi kerajaan perpaduan mungkin selepas pilihan raya negeri selesai.

“Jika anda menyokong kerajaan perpaduan, maka ia akan menjadi peluang kepada rakyat di Selangor untuk mendapat lebih banyak kelebihan dan faedah kerana kerajaan pusat dan negeri akan sejajar,” kata Mohd Imran.

Pemimpin Umno itu berharap rakyat Selangor mengundi kerajaan perpaduan untuk menerajui negeri itu.

“Dalam dua penggal sebelum ini, kerajaan Selangor dan kerajaan pusat tidak sama.

“Dalam penggal ketiga PH, kerajaan persekutuan mereka hanya bertahan selama 22 bulan. Jadi, saya berharap rakyat menyokong kerajaan perpaduan di Selangor, supaya mereka boleh mempunyai penggal penuh di bawah kepimpinan yang sama seperti kerajaan persekutuan,” katanya.

Mohd Imran mengakui walaupun mempunyai kerajaan berbeza di peringkat persekutuan, Selangor masih menawarkan insentif paling banyak kepada rakyatnya.

Beliau bagaimanapun berkata, ia boleh diperbaiki sekiranya kerajaan persekutuan menyebelahi mereka.

Enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

Mereka dijangka membubarkan DUN masing-masing pada Jun. – 23 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen