Sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan amat positif, kata Fahmi Fadzil


Fahmi Fadzil berkata beberapa dapatan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan sentimen yang baik dalam kalangan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

‘MOOD’ serta sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mentadbir negara ini amat positif, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berkata, beberapa dapatan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan sentimen yang baik dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak boleh leka dan dibuai mimpi walaupun rakyat menyokong usaha kerajaan ketika ini.

“... ini waktu kita untuk kerja keras bukan sahaja untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga segera selesaikan masalah rakyat.

“Dapatan Jabatan Perangkaan terhadap tahap peningkatan inflasi juga berkurangan kepada 3.4%, ini bermaksud ikhtiar kerajaan berjaya kawal peningkatan harga barang… tetapi banyak lagi yang perlu kita lakukan,” katanya kepada pemberita pada majlis santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir Perdana Menteri dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Fahmi berkata gabungan kerajaan sedang merangka strategi yang sesuai khususnya untuk mendekati pengundi muda.

“Kita perlu rangka strategi mengikut tempat agar kita dapat sampaikan mesej kepada mereka… kita faham setiap kumpulan ada strategi komunikasi yang berbeza,” katanya.

Dilaporkan enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu – mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN. – Bernama, 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen