JUMLAH kematian letupan lombong arang batu di Colombia naik kepada tujuh orang pada Jumaat dengan penemuan empat lagi mayat, kata pegawai.
Jumlah terbaru itu diberikan Alvaro Farfan, ketua jabatan bomba wilayah tengah Cundinamarca.
Letupan yang meruntuhkan lombong itu berlaku sepanjang malam bermula Rabu hingga Khamis di daerah Cucunuba sekitar 90 km dari ibu kota Bogota.
Pihak berkuasa mengesyaki poket gas terperangkap dalam lombong meletup sebagai punca.
Pasukan penyelamat pada mulanya menemui tiga mayat dan empat pekerja masih hilang. Kesemua mayat ditemui pada Jumaat.
Video dikongsi di media sosial menunjukkan asap keluar dari lubang pada malam hari dan orang awam membawa lampu menghampiri lombong untuk usaha menyelamat.
Colombia adalah pengeluar arang batu terbesar Amerika Latin.
Kemalangan lombong sering berlaku di Colombia, terutama di lombong haram di Cundinamarca dan bahagian lain di kawasan tengah dan tenggara negara itu.
Kementerian Lombong dan Tenaga mendaftarkan 1,262 kejadian antara 2011 dan Mei 2022 yang menyebabkan secara purata lebih 100 orang maut setiap tahun.
Letupan yang berlaku pada pertengahan Mac di daerah Sutatausa, juga di Cundinamarca, membunuh 21 orang dan menjadi salah satu tragedi terburuk di Colombia sejak beberapa tahun lepas. – AFP, 22 April, 2023.
Komen