KADAR faedah Amerika Syarikat (AS) akan mempengaruhi pergerakan ringgit minggu depan, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata kadar faedah AS akan terus menjadi tumpuan dalam pasaran dan mendominasi pasaran pertukaran mata wang asing.
“Oleh itu, ringgit dilihat akan berlegar sekitar RM4.43 hingga RM4.45 dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Pada asas minggu ke minggu, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.4350/4395 berbanding 4.4000/4025 pada penutup Jumaat minggu lalu.
Bagi minggu dagangan pendek yang baru berakhir, kurangnya ketidaktentuan pada mata wang AS telah menyokong dolar AS dan membawa kepada jangkaan pasaran untuk satu lagi pusingan kenaikan kadar faedah di AS.
Pada masa yang sama, impak ke atas ringgit disokong oleh data ekonomi China, yang menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini (S1 2023) meningkat lebih daripada jangkaan pada 4.5 peratus (S1 2022: 2.9 peratus) berbanding anggaran konsensus 4.0 peratus.
Perdagangan dan pelaburan dari China itu memberi petanda baik kepada Malaysia.
Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama berbanding minggu sebelumnya.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8616/8666 daripada 4.8660/8687, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2923/2958 daripada 3.3208/3229 tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.5127/5183 daripada 5.5031/5062 pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 296.4/297.1 daripada 299.1/299.5 sebelum ini, naik berbanding peso Filipina kepada 7.91/7.93 daripada 7.97/7.98 dan bertambah berbanding baht Thailand kepada 12.8947/91307 daripada 12.9070/9208.
Bagaimanapun ringgit lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3256/3292 daripada 3.3183/3204 pada minggu sebelumnya. – Bernama, 22 April, 2023.
Komen