Pakar perkauman PBB lawat AS minggu depan


Pasukan pakar perkauman dan dasar Majlis Hak Asasi PBB dibentuk susulan pembunuhan George Floyd pada 2020, diberi kuasa menyiasat keganasan perkauman dilakukan anggota penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia. – Gambar AFP, 22 April, 2023.

SATU pasukan pakar Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang perkauman dan dasar yang dilantik susulan pembunuhan George Floyd pada 2020 akan melawat Amerika Syarikat bermula minggu depan, kata kumpulan itu pada Jumaat.

Kumpulan pakar PBB yang dikenali sebagai Mekanisma Pakar untuk Kemajuan Keadilan Perkauman dan Ekualiti dalam konteks Penguatkuasaan Undang-Undang itu akan melawat Washington, Atlanta, Los Angeles, Chicago, Minneapolis dan New York sepanjang lawatan selama dua minggu itu.

Pasukan itu terdiri daripada tiga penyiasat bebas akan berjumpa pengawai kerajaan pada peringkat persekutuan, negeri dan tempatan, pihak berkuasa undang-undang tempatan, organisasi masyarakat sivil dan individu dan komuniti terjejas.

Pakar juga akan melawat pusat tahanan ketika lawatan yang berlangsung bermula 24 April hingga 5 Mei.

“Kami berharap untuk mendapatkan pandangan pertama tentang pengalaman kehidupan rakyat waris Afrika di Amerika Syarikat,” kata Juan Mendez, salah seorang pakar dalam satu kenyataan.

Mereka juga akan “menawarkan cadangan kepada kerajaan pada semua peringkat, untuk menyokong usaha melawan perkauman sistemik dan penggunaan kekerasan keterlaluan serta memastikan kebertanggungjawaban dan keadilan,” katanya.

Pasukan itu ditugaskan untuk memeriksa undang-undang, dasar dan amalan pasukan penguatkuasaan undang-undang termasuk samada ia mematuhi standard hak asasi antarabangsa.

Ia juga akan “mencadangkan langkah konkrit diperlukan bagi memastikan akses kepada keadilan, kebertanggungjawaban dan menangani penggunaan kekerasan keterlaluan dan pelanggaran hak asasi lain oleh pegawai penguatkuasaan undang-undang terhadap orang Afrika dan waris orang Afrika di Amerika Syarikat.”

Kumpulan keadilan kaum dibentuk Majlis Hak Asasi PBB pada 2021- setahun selepas pembunuhan Floyd oleh seorang pegawai polis kulit putih- bagi menyiasat keganasan berasaskan kaum dilakukan polis di seluruh dunia.

Dalam laporan pertama dikeluarkan Oktober lepas, pakar mengadu yang kekurangan data di AS dan negara lain tentang kaum dan etnik mereka yang ditahan atau dibunuh oleh polis adalah cabaran besar bagi melawan perkauman sistemik seluruh dunia.

Mereka menimbulkan persoalan kekurangan sistem berpusat di AS untuk mengutip data daripada lebih 18,000 agensi penguatkuasaan undang-undang.

Pakar dijangka membentangkan laporan lawatan mereka ke AS kepada Majlis Hak Asasi PBB pada sesi persidangan berlangsung September dan Oktober depan. – AFP, 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen