AS kata Sudan masih belum selamat untuk pindah kedutaan


Lebih 400 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Sabtu antara tentera yang setia kepada Ketua Tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF).– Gambar AFP, 22 April, 2023.

JABATAN Negara AS pada Jumaat berkata pertempuran berterusan antara kumpulan tentera di Sudan menambah risiko untuk memindahkan anggota kedutaan dari Khartoum.

Pentagon sudah mengerakkan asetnya di rantau timur Afrika bagi membawa keluar kakitangan kedutaan AS dari ibu kota Sudan itu.

Bagaimanapun, “disebabkan ketidaktentuan situasi keselamatan di Khartoum dan penutupan lapangan terbang, buat masa sekarang tidak selamat untuk melancarkan operasi pemindahan kerajaan AS,” kata jurucakap Jabatan Negara Vedant Patel.

Jabatan Negara mahu mengumpulkan semua kakitangan AS di satu lokasi di ibu bandar Sudan bagi memberikan perlindungan lebih baik kepada mereka daripada pertempuran yang berlaku dan persediaan untuk pemindahan.

Bagaimanapun bagaimana pelan ini akan dilaksanakan tidak dijelaskan.

Pada Khamis, Pentagon berkata ia sedang mengumpulkan kekuatan di rantau itu bagi membantu pemindahan, termasuk pengeluarana arahan dari pangkalan AS di Djibouti, lebih 1,126 km dari selatan Khartoum.

“Kami menggerakan kemampuan tambahan berhampiran rantau untuk tujuan kecemasan berkaitan potensi pemindahan kakitangan AS dari Sudan,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.

Lebih 400 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Sabtu antara tentera yang setia kepada Ketua Tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan dan timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Pertempuran mula reda pada Jumaat yang dikaitkan dengan cuti perayaan Aidilfitri, menimbulkan kemungkinan pemindahan boleh dilakukan pada hujung minggu.

“Kami sudah menjelaskan kepada kedua-dua belah pihak yang sebarang serangan, ancaman atau bahaya ke atas diplomat kami tidak boleh diterima,” kata Patel.

Berlin menangguhkan usaha pemindahan warganya dari Sudan pada Rabu, menurut majalah Jerman Der Spiegel.

Tiga pesawat tentera yang boleh membawa hampir 150 warga Jerman terbang ke negara itu tetapi terpaksa berpatah balik, menurut majalah itu.

Korea Selatan pada Jumaat berkata ia menghantar pesawat tentera dan anggotanya untuk bersedia bagi memindahkan rakyatnya di pangkalan tentera AS di Djibouti.

Jepun pula berkata ia sedang bersedia untuk memindahkan warganya dari negara itu. Sekitar 60 warga Jepun berada di Sudan termasuk kakitangan kedutaan, kata jurucakap kerajaan Hirokazu Matsuno.

Jepun turut menempatkan Pasukan Pertahan Diri Jepun di Djibouti. – AFP, 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen