RUSIA pada Jumaat meletakkan seorang wartawan Bulgaria yang juga pengkritik tegar Kremlin ke dalam senarai “ejen asing” dan mengarahkan penahanannya, satu tindakan jarang dilakukan ke atas pengkritik bukan warga Rusia.
Moscow merancakkan usaha menekan pengkritik selepas Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada Februari tahun lepas, dan hampir semua media bebas telah ditutup atau digantung operasi.
Warga Bulgaria Christo Grozev, 53, adalah ketua wartawan Rusia untuk laman web penyiasatan Bellingcat, dan memainkan peranan utama dalam siasatan kes keracunan politikus pembangkang Alexei Navalny.
Kementerian Luar Rusia meletakkan Grozev ke dalam senarai ejen asing pada Jumaat dan mahkamah Moscow mengarahkan penahanan Grozev, lapor agensi berita Rusia.
Grozev tidak berada di Rusia pada masa sekarang.
Moscow kerap menggunakan label “ejen asing”, yang mempunyai konotasi era Stalin, terhadap pengkritik Kremlin tetapi jarang menggunakannya terhadap warga asing.
Menurut undang-undang Rusia, ia boleh dikenakan terhadap individu “tanpa mengira kewarganegaraan.”
Hujung tahun lepas, Grozev diletakkan ke dalam senarai dihendaki pihak berkuasa Rusia dan perkhidmatan perisikan dalam negara FSB juga menuduhnya membantu perisikan Ukraine.
Grozev kerap melaporkan serangan Moscow di Ukraine.
Agensi berita RIA Novosti pada Jumaat memetik sumber berkata penyiasat menuduh Grozev membantu seorang wartawan ternama Rusia, Roman Dobrokhotov untuk “melintasi sempadan secara haram.”
Dobrokhotov adalah pengasas laman web berita The Insider.
Sebelum Kremlin melancarkan serangan penuh tahun lepas, Bellingcat sudah menyiasat kes tembakan jatuh MH17- yang membunuh semua 298 orang di timur Ukraine pada 2014- dan mendakwa pejuang disokong Rusia berkemungkinan besar bertanggungjawab.
Moscow menafikan sebarang penglibatan dalam kes itu. – AFP, 22 April, 2023.
Komen