PENGGANAS dikaitkan dengan Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab ke atas serangan minggu ini yang membunuh ketua kakitangan junta tentera Mali dan satu lagi serangan, kata kumpulan pemantau perisikan Site pada Jumaat.
Oumar Traore, ketua kakitangan Kolonel Assimi Goita, presiden peralihan, antara beberapa orang yang maut dalam serangan pada Selasa berhampiran sempadan Muaritianian, menurut dokumen daripada pejabat presiden Mali.
Traore adalah sebahagian daripada pasukan yang mengiringi jurutera untuk melawat tapak perlombongan air diserang di kawasan terletak 400km dari ibu kota Bamako.
Istana Presiden turut melaporkan tiga yang lain turut terbunuh.
Pada Jumaat, Jama’at Nasr al-Islam wal Muslimin (JNIM) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, berkata ia membunuh Traore dan dua anggota tentera, menurut kenyataan dilaporkan Site, yang memantau laman web pengganas.
Kumpulan itu juga mendakwa mengambil dua orang tebusan.
Dalam kenyataan sama, JNIM mengaku melakukan serangan berasingan pada Rabu yang membunuh tujuh orang anggota tentera antara Sokolo dan Farabouou di tengah Mali.
Ia berkata tiga anggotanya turut terbunuh dalam serangan itu, menurut laporan Site.
Tentera Mali tidak mengesahkan kejadian itu.
Mali berdepan krisis keselamatan dan politik sejak puak jihadis dan pemisah melancarkan pemberontakan bersenjata di utara negara itu pada 2012.
Jihadis dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Negara Islam merancakkan serangan mereka ke tengah Mali dan negara jiran Niger dan Burkina Faso.
Ribuan orang awam, polis dan tentera terbunuh dalam krisis itu dengan lebih dua juta orang menjadi pelarian.
Negeri Sahel ditadbir tentera sejak Ogos 2020. – AFP, 22 April, 2023.
Komen