LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengedarkan sejumlah 22.6 juta biji telur melalui 369 outlet pemasarannya di seluruh negara bermula November lalu sehingga hari ini bagi menampung bekalan telur ayam di pasaran.
Fama memaklumkan, ia termasuk sejumlah 349,500 biji telur yang diedarkan di 52 outlet Fama sebagai langkah intervensi bagi menampung permintaan yang tinggi di Kelantan.
“Berdasarkan pemantauan Fama, bekalan telur di pasar raya di negeri Kelantan dan Terengganu mencukupi dan dapat memenuhi permintaan pengguna dan tidak berlaku kekurangan bekalan telur ayam seperti yang didakwa,” menurut Fama dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub berkata kebanyakan pasar raya di Pantai Timur masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri esok.
Beliau berkata kementeriannya mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya dan pasar raya besar terpilih di Kelantan serta Terengganu susulan laporan media berhubung isu gangguan bekalan produk itu di Pantai Timur menjelang Aidilfitri.
Fama juga mengadakan jualan agro Madani seperti program Ramadan Madani, program Syawal Madani dan program jualan terus dari ladang di Kelantan meliputi 30 lokasi sepanjang bulan Ramadan membabitkan jualan komoditi termasuk telur, ayam dan ikan.
“Ia diadakan bagi kemudahan pengguna mendapatkan barangan keperluan sebagai persediaan menghadapi Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan itu.
Fama turut mengambil langkah proaktif meningkatkan pemasaran agromakanan negara, khususnya komoditi telur ayam bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Fama akan terus menjalankan pemantauan bekalan telur, terutamanya di outlet peruncitan Fama termasuk pasar raya terpilih di negeri Pantai Timur bagi memastikan bekalan telur sentiasa memenuhi permintaan pengguna,” katanya.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan berlakunya kekurangan bekalan telur yang kritikal di beberapa lokasi di Pantai Timur sehingga terpaksa dicatu. – Bernama, 21 April, 2023.
Komen