Zahid saran umat Islam hati-hati dengan varian baharu Covid-19


Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah ketika musim perayaan Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan umat Islam yang menyambut Aidilfitri di seluruh negara supaya berhati-hati dengan varian baharu Covid-19 iaitu XBB1.16 atau Arcturus.

“Kita harus lebih berhati-hati kerana varian baharu ini kita tidak tahu kadar jangkitannya dan ia sangat terbuka serta cepat… Saya harap kita lebih berhati-hati sambil kita bergembira (menyambut Aidilfitri),” katanya kepada pemberita ketika meninjau jualan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menasihati warga kota yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati dan fokus ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya harap dengan tol percuma yang diumumkan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), kita harus ambil peluang ini untuk pulang ke kampung bersilaturahim dengan ibu bapa dan kaum keluarga tetapi jangan dalam kegembiraan ini, kita leka di jalan raya.

“Nyawa lebih penting dan saya harap soal keselamatan jalan raya harus diberi keutamaan selain menjalin silaturahim,” katanya.

Tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati ramai warga kota mengambil peluang jualan murah yang ditawarkan oleh peniaga pada hari terakhir Ramadan.

Zahid turut meluangkan masa menyantuni warga kota serta beramah mesra sambil berswafoto bersama pengunjung dan peniaga. – Bernama, 21 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen