Gerakan mahu tanding 3 kerusi di Kedah


Angie Tan

Penganalisis politik berpendapat Gerakan patut menumpukan usaha memenangi kerusi pada pilihan raya negeri Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

GERAKAN, yang dilaporkan hanya diberi satu kerusi bagi pilihan raya negeri Kedah akan datang, mendesak tiga kerusi dalam rundingan kerusi yang sedang berlangsung dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sumber memberitahu The Malaysian Insight pemimpin parti negeri mahu bertanding di kerusi Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Derga, dan memberitahu rakan kongsi mereka dalam gabungan PN – PAS dan Bersatu – bahawa mereka yakin akan memenangi kerusi itu.

Antara calon yang dilaporkan dicadang untuk diletakkan adalah pengerusi bahagian Darul Aman, Chuah See Seng.

Gerakan, yang mana kekuatan politiknya merudum sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tidak memenangi sebarang kerusi di negeri konservatif Melayu-Islam itu.

Parti Islam PAS, seperti yang dijangkakan, akan mendapat bahagian besar daripada 36 kerusi dalam dewan undangan negeri.

Sumber berkata selepas dua pusingan rundingan, PAS diperuntukkan 22 kerusi, dengan baki 14 lagi akan dibahagikan antara Bersatu dan Gerakan.

Pusingan pertama rundingan dilaporkan berlangsung pada 8 April dan kedua pada 18 April.

“Selepas rundingan pusingan pertama, Gerakan hanya diperuntukkan satu kerusi,” kata satu sumber.

Satu lagi sumber berkata, bagi Gerakan merakam kejayaan di negeri itu, ia mungkin perlu berfikir di luar kotak dan tidak semestinya meletakkan calon yang sering menjadi bualan di jalanan.

Sumber itu menambah majlis tertinggi parti di peringkat nasional sudah merangka senarai calonnya.

“Apabila rundingan kerusi dimuktamadkan, parti itu juga akan memuktamadkan senarai calonnya. Mereka mahu mengelak perubahan pada saat akhir,” kata sumber itu.

Gerakan, bagi pengundi Kedah, tidak begitu digemari dan ramai yang sudah menolak mereka.

Parti itu dijangka menggunakan logo PN pada pilihan raya yang dijangka diadakan pada akhir Jun atau awal Julai.

“Mereka yakin bendera PN akan membawa kejayaan kepada mereka. Pada pilihan raya umum ke-15, PN memenangi 14 daripada 14 kerusi persekutuan yang dipertandingkan di negeri itu,” kata sumber itu.

“Tidak boleh menoleh ke belakang dan menggunakan bendera lain.”

Presiden Gerakan, Dominic Lau enggan mengulas mengenai pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2023.

Presiden Gerakan, Dominic Lau enggan mengulas, berkata beliau tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian pada masa ini.

Spekulasi umum adalah pembangkang PN akan sekali lagi menyapu bersih semua kerusi di negeri itu, seperti yang dilakukan pada PRU15 dan mengembalikan semula kerajaan negeri yang didominasi PAS.

Timbalan Ketua PN Kedah dan Pengerusi Gerakan negeri Marimuthu Selvan meramalkan gabungan itu akan memenangi sekurang-kurangnya 33 kerusi, jika tidak semua.

Beliau berkata PN masih relevan dan akan mengulangi prestasi PRU15.

Parti masih tidak dikenali oleh pengundi

Keyakinan Gerakan, bagaimanapun, tidak dikongsi oleh penganalisis politik Cheah See Kian.

Cheah memberitahu The Malaysian Insight amat sukar bagi Gerakan untuk membuat kejayaan yang amat diharapkan.

“Gerakan bukan seperti dulu. Ia tidak lagi berkuasa seperti suatu ketika dulu.

“Ia kini bersandar kepada kekuatan rakan kongsi PN untuk memastikan kejayaan.”

Cheah berkata pemimpin parti juga sebahagian besarnya tidak diketahui oleh pengundi dan ia akan menyukarkan bagi mereka untuk meraih kejayaan.

“Pemimpin terkenal pada masa lalu semuanya sudah pergi,” katanya merujuk kepada pemimpin seperti Lim Chong Eu, Profesor Syed Hussain Alatas dan Tan Chee Khoon.

Daripada membazirkan sumber mereka di Kedah atau mana-mana negeri lain, Cheah berkata Gerakan sebaliknya perlu menumpukan perjuangan mereka di Pulau Pinang.

“Itu penting. Buat kemunculan semula di Pulau Pinang. Mereka sudah melalui empat pilihan raya tanpa memenangi sebarang kerusi.

“Dua puluh tahun itu tiada apa-apa langsung.”

Cheah berkata parti itu perlu menilai semula hala tuju mereka dalam pilihan raya negeri. – 22 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen