JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan dua pegawainya di Pejabat Atase Imigresen di Dhaka, Bangladesh, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lalu adalah hasil perkongsian maklumat secara strategik antara dua agensi berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata ini susulan pihaknya mengesan terdapat dakwaan pegawai berkenaan di Dhaka menerima rasuah membabitkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara itu untuk memasuki Malaysia.
“Jabatan Imigresen kemudiannya mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan. Hasil maklumat itu disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga membawa kepada penahanan dua pegawai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
Ruslin berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan dan menggugat keselamatan serta kedaulatan negara dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang terbukti melakukan kesalahan berkenaan.
Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan itu sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti, katanya.
Semalam, media melaporkan dua pegawai agensi penguat kuasa itu ditahan pada 17 April lalu sebaik hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya dan direman tiga hari bermula 18 April.
Menurut sumber, penahanan dua pegawai itu berikutan SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua individu berkenaan dan mereka diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tangkapan lain akan dibuat selepas ini. – Bernama, 21 April, 2023.
Komen