FOTO seorang wanita sarat mengandung ketika diselamatkan dari hospital bersalin yang musnah di bandar Mariupol, Ukraine diumumkan sebagai pemenang hadiah utama dalam pertandingan World Press Photo (Foto Akhbar Dunia), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Foto yang dirakamkan jurufoto dari Ukraine Evgeniy Maloletka itu diumumkan sebagai pemenang dalam satu acara di Amsterdam semalam.
Diambil pada 9 Mac 2022 untuk Agensi Berita AP, foto itu mengejutkan orang ramai di seluruh dunia.
Wanita itu dan anaknya meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Gambar ini merakamkan penderitaan manusia yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” kata pengerusi barisan juri Brent Lewis.
Pemenang dipilih daripada kira-kira 60,000 foto yang dicalonkan untuk semua kategori yang dipertandingkan.
Hadiah untuk cerita foto terbaik dimenangi Mads Nissen dari Denmark menerusi foto yang menceritakan mengenai kesukaran hidup yang dilalui warga Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban.
Anush Babajanyan dari Armenia memenangi anugerah untuk siri krisis air di Asia Tengah manakala Mohamed Mahdy warga Mesir memenangi hadiah untuk projek dokumentari di sebuah perkampungan nelayan di Iskandariah.
Lebih 3,700 jurugambar dari 127 negara menyertai pertandingan itu.
Semua foto pemenang akan dipamerkan di lebih 60 bandar di seluruh dunia dengan pameran pertama di Amsterdam pada Sabtu. – Bernama, 21 April, 2023.
Komen