Selepas beku, SPRM sita 2 akaun bank Bersatu


SPRM melaksanakan tindakan sita dua akaun bank Bersatu pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas membekukannya pada Januari lepas.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan sita itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

“Sebelum ini akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari lepas mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Susulan itu SPRM melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab laporan berita sebuah agensi media bertajuk Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days yang disiarkan semalam. – Bernama, 20 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen