Reaksi berbeza terhadap sistem pemberi maklumat Kementerian Pendidikan


Alfian Z.M. Tahir

Pelaksanaan sistem pemberi maklumat seperti dicadangkan Kementerian Pendidikan akan membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap pihak sekolah atau guru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2023.

PELBAGAI reaksi diterima daripada golongan guru mengenai cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sistem pemberi maklumat bagi menerima aduan orang ramai terhadap kakitangan pendidikan termasuk sekolah dan guru.

Guru yang bersetuju berkata sistem itu akan membolehkan mereka menambah baik tetapi menegaskan setiap laporan mesti ditangani dengan telus manakala mereka yang tidak bersetuju berkata sistem itu hanya akan menyebabkan guru menjauh daripada membetulkan atau membimbing pelajar.

Baru-baru ini diumumkan aduan boleh dibuat terhadap mana-mana kakitangan kementerian atau pejabat pendidikan negeri dan daerah, atau terhadap guru atau sekolah, sambil menambah butiran pemberi maklumat akan diklasifikasikan sebagai sangat sulit.

Ia berkata sesiapa yang mempunyai rungutan atau yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang salah laku boleh menghantar e-mel, menghubungi talian hotline atau berjumpa pegawai dikhaskan untuk bertindak berhubung aduan tersebut.

Jasni Md Kechik daripada Persatuan Guru Melayu Malaysia Barat (WMMTA) mengalu-alukan idea itu kerana ia akan menjadi refleksi yang baik kepada guru dan sekolah.

“Niatnya baik, penjawat awam melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Ini boleh menjadi sistem pencegahan.

“Tetapi harus diingat bukan semua laporan mempunyai asas atau benar. Setiap aduan mesti dilayan dengan cara bahawa tiada sebarang tindakan tidak adil atau negatif terhadap mana-mana kakitangan.

“Sistem ini boleh memberi kebaikan kepada guru, untuk mereka menambah baik atau belajar. Tetapi sekali lagi, jika ada salah laku, kes itu tidak boleh dikongsi dengan semua orang. Kerajaan mesti merahsiakan identiti (seorang guru) supaya tidak memalukan mereka atau keluarga,” katanya.

Cadangan daripada kerajaan, yang dikenali sebagai Dasar Perlindungan Kementerian Pendidikan, akan melindungi kakitangan atau orang awam yang membuat aduan mengenai sebarang salah laku jenayah, pelanggaran etika atau kes tidak disiplin yang mereka hadapi ketika berurusan dengan pegawainya di semua peringkat.

Ia berkata sebarang maklumat atau aduan yang melibatkan kakitangan dalam salah laku jenayah akan disampaikan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan, sambil menambah ia mungkin akan berlaku, sedang berlaku atau telah pun berlaku.

Sependapat dengan Jasni adalah seorang guru sekolah veteran di Klang yang berkata sistem itu akan membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan dan bukannya sesiapa yang melemparkan tuduhan semata-mata terhadap sebuah sekolah.

“Apabila ada sistem, mungkin ibu bapa atau orang ramai akan membuat laporan terus kepada kementerian. Tidak seperti kes sebelum ini ibu bapa membawanya ke media sosial dan perkara itu dinilai oleh orang ramai.

“Dengan sistem ini, apabila laporan dibuat, siasatan akan dijalankan. Kita boleh mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan tidak menuding jari kepada sesiapa. Tetapi yang penting siasatan mesti adil,” kata guru sekolah menengah itu yang enggan dinamakan. – 21 April, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen