Muhyiddin tidak patut api-apikan sentimen pengundi, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang didakwanya membuat kenyataan berniat jahat ketika kempen di Padang Serai tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2023.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, sebagai bekas perdana menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengapi-apikan sentimen pengundi, kata Anwar Ibrahim dalam menjawab penyata pembelaan Muhyiddin terhadap saman difailkan perdana menteri.

Anwar mendakwa apatah lagi presiden Bersatu itu membuat kenyataan berkenaan ketika kempen pilihan raya di Padang Serai menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa kenyataan Muhyiddin itu berniat jahat.

Katanya, ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya tahu di Parlimen beberapa tahun lalu menolak dakwaan Anwar menerima RM15 juta untuk khidmatnya sebagai penasihat ekonomi untuk kerajaan negeri Selangor.

“Plaintif menegaskan sebagai ahli politik veteran dan bekas perdana menteri, defendan sepatutnya tahu untuk tidak membuat kenyataan umum yang mempunyai kecenderungan untuk mengapi-apikan dan menggalakkan perasaan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang dan calon untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, lebih-lebih lagi apabila kenyataan sedemikian berunsur fitnah dan berniat jahat.

“Namun, defendan meneruskan untuk membuat perkara yang sama (menuduh fitnah dan/atau perkataan fitnah) melalui ucapannya dalam kempen pilihan raya yang jelas tidak dapat dinafikan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata Anwar dalam jawapan yang dilihat Malaysiakini.

Anwar mendakwa tidak sukar bagi Muhyiddin untuk mengakses rekod hansard Parlimen yang tersedia secara umum sebelum membuat dakwaan itu.

Dalam hujahnya, Anwar berkata Muhyiddin juga tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengeluarkan kenyataan yang didakwa palsu dan berniat jahat di kawasan Padang Serai sebaliknya bukan kawasan Parlimen Pagoh yang diwakilinya.

Katanya, walaupun defendan menikmati kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 Bahagian Pilihan Raya Persekutuan, Anwar berpendapat hak asasi ini layak dan masih tertakluk kepada pelbagai sekatan seperti Akta Fitnah 1957.

Dalam penyata pembelaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari, Muhyiddin mendakwa antara lain Anwar sebagai perdana menteri tidak patut tersinggung dengan kritikan dan persoalan dibuat ketika ucapan politik.

Anwar memfailkan jawapannya pada 16 Februari.

Pada 20 Disember tahun lalu, Anwar memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan dibuat Muhyiddin dibuat pada ceramah perdana akhir PN pada 5 Disember di Padang Serai. – 20 April, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen