PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan program rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat nasional di negeri yang ditadbir PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ini adalah kali pertama rumah terbuka Hari Raya perdana menteri diadakan di luar kediaman rasmi di Putrajaya.
Penganjuran rumah terbuka di tiga negeri itu dilihat sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) giat meraih sokongan sempena pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri termasuk tiga negeri terbabit, tidak lama lagi.
Anwar juga dijadualkan menganjurkan program sama di tiga lagi negeri yang mengadakan PRN iaitu negeri ditadbir PH – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata majlis rumah terbuka di Kedah akan diadakan pada 29 April di Hotel Raia, Alor Setar dari 10 pagi hingga 2 petang.
Ia akan diikuti dengan majlis kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru pada 12 Mei bermula jam 7 malam.
Keesokannya rumah terbuka akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Tarikh hari terbuka Aidilfitri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan belum diumumkan. – 20 April, 2023.
Komen