85 maut berebut ambil bantuan di Yaman


Setakat ini dilaporkan 85 terbunuh, manakala lebih 100 cedera dalam rempuhan di ibu Sanaa, Yaman ketika pengagihan bantuan kewangan, kata pihak berkuasa. – Gambar AFP, 20 April, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 85 terbunuh, manakala lebih 100 yang lain mengalami kecederaan dalam rempuhan di ibu Sanaa, Yaman ketika pengagihan bantuan kewangan, kata pegawai kesihatan Huthi.

Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke hospital dan pihak bertanggungjawab untuk mengagihkan bantuan amal itu ditahan, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita pemberontak, Saba.

Kementerian Dalam Negeri Huthi tidak memberikan jumlah tepat, bagaimanapun berkata berpuluh-puluh terbunuh akibat rempuhan ketika pengagihan wang secara rawak oleh beberapa peniaga.

Pengagihan di kawasan Bab al-Yemen Sanaa yang dikuasai Huthi itu berlaku beberapa hari sebelum cuti perayaan Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.

Video tersebar di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan di dalam sebuah kompleks besar ketika orang ramai mengerumuni mereka.

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman itu.

Konflik di Yaman tercetus pada 2014 apabila pemberontak Huthi yang disokong Iran merampas Sanaa, mendorong pakatan yang diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pertempuran di Yaman mencetuskan apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  sebagai antara tragedi kemanusiaan terburuk di dunia.

Lebih 21.7 juta, dua pertiga daripada penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini, menurut PBB. – AFP, 20 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen