Fox News bayar lebih AS$787 juta selesai kes saman fitnah


Pada 2021, Dominion Voting Systems mendakwa hos dan tetamu Fox News membuat pertuduhan palsu bahawa teknologi pengundiannya membantu menipu dalam pemilihan Joe Biden. – Gambar AFP, 20 April 2023.

FOX News, saluran televisyen multinasional Amerika, mencapai penyelesaian saat terakhir dengan Dominion Voting Systems pada Selasa dengan membayar lebih AS$787 juta untuk menamatkan kes undang-undang yang di hadapinya sejak dua tahun lalu, lapor Petra.

Bayaran itu merupakan penyelesaian fitnah terbesar yang diketahui umum dalam sejarah Amerika Syarikat yang melibatkan syarikat media.

Perjanjian saat akhir bermakna kes yang dipantau rapat itu selesai dan tidak akan diteruskan ke perbicaraan mahkamah.

Pada 2021, Dominion mendakwa hos dan tetamu Fox membuat pertuduhan palsu bahawa teknologi pengundiannya membantu menipu dalam pemilihan Joe Biden.

Syarikat itu menuntut ganti rugi AS$1.6 bilion.

Fox berhujah bahawa ia membuat liputan mengenai dakwaan oleh sekutu presiden Donald Trump ketika itu yang mempunyai nilai berita, dan siarannya dilindungi oleh perlembagaan (First Amendment). – Bernama, 20 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen