Datuk bandar didakwa seleweng isu air di Guatemala ditembak mati


Datuk Bandar Zacapa di Guatemala Julio Alberto Sanchez baru sahaja keluar dari rumahnya ketika beliau ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. Gambar sekadar hiasan. – Gambar EPA, 19 Mac, 2018.

POLIS Guatemala kini menyiasat pembunuhan datuk bandar Zacapa, Julio Alberto Enriquez Sanchez, yang ditembak mati pada Sabtu hanya beberapa meter dari rumahnya.

Sanchez baru sahaja keluar dari rumahnya ketika beliau ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. 

Kedua-dua penyerang berjaya memboloskan diri dan belum dikenal pasti, kata sukarelawan bomba Raul Conteras kepada media tempatan.

Penduduk setempat memberikan penghormatan terakhir mereka semalam dan berkata Sanchez telah membawa perubahan yang agak besar ke kawasan kejiranan itu.

Bagaimanapun, Sanchez berdepan dakwaan melakukan penyelewengan berkaitan isu sistem air dan polis sedang menyiasat perkara itu selain ancaman yang dibuat terhadapnya.

Ahli kongres, Laura Franco, secara terbuka menyalahkan Sanchez atas pembunuhan adik lelakinya, Jacobo de Jesus de Franco Samayoa, yang didakwa telah dibunuh kerana mengecam perbuatan rasuah. – Bernama, 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen