PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi menyuarakan kebimbangan badan dunia itu terhadap pemantauan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Setiausaha Agung PBB António Guterres, kata jurucakap PBB pada Selasa, lapor Xinhua.
“PBB secara rasmi menyuarakan kebimbangannya kepada negara tuan rumah itu mengenai laporan baru-baru ini bahawa komunikasi setiausaha agung dan pegawai kanan PBB yang lain menjadi subjek pengawasan dan campur tangan kerajaan AS,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Guterres.
“PBB menjelaskan tindakan sedemikian tidak konsisten dengan kewajipan AS yang dinyatakan dalam Piagam PBB dan Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB,” katanya.
Washington Post pada Isnin melaporkan menurut empat laporan sulit yang diperoleh akhbar itu, AS mencuri dengar dan mengumpul risikan mengenai Guterres.
Dokumen itu, dua daripadanya belum dilaporkan sebelum ini, meringkaskan perbualan yang dipintas yang memberi penerangan baharu mengenai interaksi ketua PBB dengan pegawai tertinggi PBB dan pemimpin dunia, lapor akhbar itu. – Bernama, 19 April, 2023.
Komen