Ragbi adalah puisi, kata jurulatih ragbi Ireland


Jurulatih ragbi Ireland Joe Schmidt berkata puisi membantu beliau dalam memberi keyakinan dan kemenangan buat pasukan ragbi Ireland dalam kejuaraan Grand Slam baru-baru ini. – Gambar EPA, 19 Mac, 2018.

JURULATIH ragbi Ireland Joe Schmidt “membuka panggung” dalam dunia sukan apabila mendedahkan yang puisi sangat penting bagi kejayaan pasukannya.

Schmidt, 57, yang berasal dari New Zealand menjadi jurulatih ketiga yang membawa pasukan Ireland memenangi Grand Slam dengan kemenangan 24-15 ke atas England pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau yang terkenal dengan pengkhususan teknik serahan itu, membuat kejutan apabila mendedahkan tentang pesanan kepada pasukannya turun ke padang.

“Saya cuma cakap ‘get out and play lads’,” kata Schmidt kepada pemberita.

Bagi Schmidt, bermain ragbi umpama menulis rangkap puisi.

Beliau percaya bahawa puisi mempunyai struktur tetapi itu bukan bermaksud puisi tidak boleh ‘dilanggar’ untuk mendapat kepuasan atau kemenangan.

“Orang sangka ada banyak struktur tetapi saya fikir, antara puisi terhebat yang pernah saya baca ialah puisi yang melangkau sempadan tatabahasa,” kata Schmidt.

“Tetapi, bila kamu faham tatabahasa, kamu boleh gunakan ia untuk menyampaikan pesanan.

“Contohnya bila pemain ada struktur, mereka boleh pergi jauh dan bermain ikut jangkauan mereka sendiri.

“Saya cuma cakap ‘keluar main dan nikmati sahaja sebab ini adalah hari yang kamu nantikan sekian lama’.”

Schmidt berkata, beliau sendiri susah untuk beritahu siapa penyair yang beliau minat.

“Campur aduk,” katanya.

“Sam Hunt dari New Zealand agak ‘berkarat,’ saya suka dia. Banjo Patterson, dari Australia juga sangat bagus.”

Beliau turut memetik nama penyair dari negara angkatnya sekarang seperti WB Yeats.

Bagaimanapun, beliau akui tekanan untuk perlawanan ragbi membuatkan beliau mula kurang membaca karya penyair yang disukainya.

“Saya agak suka beberapa puisi gelap seperti Sylvia Plath tapi saya juga tak mahu ‘masuk terlebih dalam’,” katanya. – AFP, 19 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen