SEKUMPULAN nelayan Indonesia berjaya diselamatkan selepas kapal mereka karam di pantai barat Australia, dan terkandas di pulau terpencil selama enam hari tanpa makanan, kata pihak berkuasa.
Seramai 10 nelayan terdampar di Pulau Bedwell, kira-kira 300km barat bandar peranginan Broome, selepas kapal mereka dibadai ribut tropika ketika menangkap ikan di Lautan Hindi.
Nelayan kesebelas dari kapal kedua juga dibawa air ke pantai selepas berada di lautan selama 30 jam.
Pihak berkuasa bagaimanapun berkata ada kemungkinan seorang lagi anak kapal lemas selepas bot mereka karam di laut luas.
Pulau Bedwell terpencil, terdedah dan tidak sesuai untuk didiami – hampir keseluruhannya hanya pasir putih tanpa tempat berteduh atau sumber air bersih.
Kumpulan nelayan yang terkandas itu dikesan oleh sebuah helikopter penyelamat pada petang Isnin selepas keberadaan mereka dilihat oleh pesawat peronda Pasukan Sempadan Australia.
Mereka kini menerima rawatan di Australia dan akan kembali ke Indonesia selepas pulih, kata pihak berkuasa.
Ribut tropika Ilsa membadai barat Australia pada Jumaat minggu lalu, membawa angin paling kuat pernah direkodkan di negara itu. – AFP, 19 April, 2023.
Komen