PUTRAJAYA akan mengkaji semula kriteria dan syarat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) supaya ia lebih berdaya saing, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan antara menterinya Tiong King Sing bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ruji Ubi di Putrajaya semalam.
Kenyataan itu menyebut, kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa agensi di bawah Motac iaitu Tourism Malaysia akan mempromosi dan mengesyorkan permohonan selepas proses tapisan program itu melalui pusat sehenti MM2H One Stop Centre.
“Pusat ini juga akan membantu pemohon memproses permohonan dan mengumpul bahan-bahan keperluan, seterusnya dimajukan terus ke KDN atau Jabatan Imigresen Malaysia untuk urusan pemprosesan dan pengeluaran pas MM2H,” katanya.
Kenyataan itu juga memetik Tiong sebagai berkata langkah tersebut akan menjadikan proses permohonan program MM2H lebih fleksibel.
Syarat baharu yang diperkenalkan pada 2021 menetapkan pemohon perlu mempunyai minimum RM1 juta dalam akaun simpanan tetap Malaysia berbanding sebelum ini sekurang-kurangnya RM150,000 bagi pemohon 50 tahun ke atas dan RM300,000 bagi pemohon 50 tahun ke bawah.
Pemohon juga perlu membuat pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, dan mempunyai pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.
Isnin lalu, kerjaan negeri Pulau Pinang berharap KDN mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat ketat yang diperkenalkan bagi pemohon baharu program MM2H.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin dalam satu kenyataan berkata KDN syarat baharu tersebut perlu disemak semuladengan segera supaya ia seiring dengan perubahan dalam keperluan ekonomi dan memberi sumbangan untuk memulihkan ekonomi Malaysia selepas pandemik.
Yeoh juga berkata Persatuan Perunding MM2H mendapati syarat yang lebih ketat menyebabkan penurunan sebanyak 90% jumlah pemohon MM2H sejak ia diperkenalkan pada 2021.
“Syarat ketat tersebut menjejaskan warga asing untuk menetap di sini bagi tempoh jangka panjang.
“Sekiranya ia (syarat ketat) berterusan, saya berpendapat ramai ekspatriat tidak lagi memilih Malaysia dan akan beralih ke negara jiran yang lebih mudah bagi mereka untuk memenuhi syarat kelayakan untuk menetap di sana,” katanya. – 19 April 2023.
Komen