2 lelaki ditahan jalankan operasi balai polis rahsia China di New York


PEGAWAI penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS) berkata dua individu ditahan di New York kerana didakwa mengendalikan “balai polis rahsia” China di bandar itu.

Kedua-dua suspek berusia 59 dan 61 tahun itu didakwa membuka dan mengendalikan pejabat di kawasan pusat kewangan Manhattan, dipercayai bagi pihak Kementerian Keselamatan Awam China.

Kedua-duanya ditangkap di rumah mereka di New York, kata Jabatan Kehakiman, tanpa mendedahkan kewarganegaraan mereka.

Mereka didakwa bersubahat dengan bertindak sebagai ejen kerajaan China dengan menghalang keadilan dengan memusnahkan bukti.

“Balai polis itu yang ditutup pada musim luruh 2022 selepas mereka yang mengendalikannya menyedari penyiasatan FBI, beroperasi di satu tingkat di bangunan pejabat di Chinatown Manhattan,” lapor  agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan itu.

Jabatan Kehakiman mendakwa pejabat itu digunakan untuk memantau dan menakut-nakutkan penentang dan mereka yang mengkritik kerajaan Beijing.

“Agak keterlaluan ementerian Keselamatan Awam China beranggapan ia boleh terlepas dengan membuka balai polis rahsia dan haram di bumi AS untuk membantunya melakukan penindasan dan melanggar undang-undang kita,” kata Pemangku Penolong Pengarah Kurt Ronnow dari Bahagian Perisikan balas FBI.

China mengendalikan lebih seratus pejabat di seluruh dunia yang digunakan sebagai “balai polis” haram, dakwa organisasi hak asasi manusia bukan keuntungan, Safeguard Defenders.

Mereka mendakwa menemui 102 kemudahan sedemikian di 53 negara, kata kumpulan itu pada Disember.

Beijing berulang kali menafikan laporan sedemikian. – Bernama, 19 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen