Pengakhiran buat UPP di Sarawak 


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata calon Barisan Nasional langsung tidak menyelesaikan masalah antara UPP dan SUPP pada 2016 dan tidak akan berfungsi jika masih mengetengahkan karakter politik yang sama. - Gambar Youtube, 19 Mac, 2018.

KEPUTUSAN Barisan Nasional Sarawak untuk menamatkan amalan meletakkan calon BN secara langsung menjadi pengakhiran kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP), kata penganalisis. 

Mereka bersetuju untuk UPP, yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Wong Soon Koh, menerima akibat selepas gagal menghormati perjanjian yang dibuat dengan bekas ketua menteri Adenan Satem. 

Di bawah perjanjian itu, beberapa pemimpin UPP diletakkan sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya negeri 2016. 

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir memberitahu The Malaysian Insight, keputusan itu bermakna UPP sudah menemui jalan buntu. 

“Mereka tiada pilihan sekarang. Mereka perlu ikut arahan ketua menteri dan menyertai SUPP. Calon langsung merupakan penyelesaian jangka pendek. Barisan Nasional perlu berhenti menggunakan strategi ini,” kata Jeniri. 

Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata calon BN untuk menyelesaikan pertikaian antara UPP dan SUPP tidak berjaya pada 2016 dan “ia juga tidak akan berjaya jika mengetengahkan karakter politik yang sama”.

“Justeru, tindakan ketua menteri untuk tidak menggunakan calon langsung BN untuk menyelesaikan masalah politik antara UPP dan SUPP adalah betul.”

Masing berkata, SUPP perlu diberikan semua tujuh kerusi yang diperuntukkan secara tradisi untuk bertanding. 

“UPP yang bukan ahli pakatan BN tidak berhak untuk bertanding menggunaan simbol BN, jadi ahli UPP yang berhasrat untuk menjadi calon perlu menyertai SUPP bagi membolehkan mereka layak bertanding atas tiket BN.”

Ketua menteri diberi mandat untuk menyelesaikan konflik antara dua parti yang tercetus sejak pertikaian kepimpinan pada pemilihan parti SUPP 2011. 

Presiden UPP Wong merupakan timbalan setiausaha agung UPP dan ketua cawangan Sibu apabila bertanding untuk jawatan presiden menentang bekas menteri tenaga dan teknologi hijau Peter Chin bagi menggantikan Dr George Chan yang kehilangan kerusi pada pilihan raya negeri.

Pemilihan itu menjadi bertambah buruk apabila Wong mendakwa berlaku penyelewengan pada pemilihan di beberapa cawangan. 

Wong, yang turut mendakwa pemilihan itu telah dirancang untuk memihak kepada Chin, memfailkan aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS). 

RoS pada 2014 bagaimanapun mendapati tiada sebarang penyelewengan dan menyelamatkan parti itu daripada pembubaran.

Ini membawa kepada peletakan jawatan besar-besaran oleh Wong dan penyokongnya, termasuk majoriti Adun Dayak dan membentuk UPP. 

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung berkata UPP sepatutnya terikat pada akhir perjanjian 2016 yang memerlukan Adun UPP meletak jawatan dari parti dan menjadi bebas sementara sekiranya mereka mahu mempertahankan kerusi yang mereka memenangi atas tiket SUPP.

Jika mereka menang, mereka boleh menyertai SUPP atau memilih mana-maman parti BN negeri – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) or People’s Democratic Party (PDP) – untuk disertai.

Mereka tidak berbuat demikian. Wong masih presiden, Adun Begoh Dr Jerip Susil masih timbalan dan Adun Engkilili Johnicol Rayong masih ketua Pemuda UPP. 

Dua lagi Adun UPP, Ranum Mina (Opar) dan Tiong Thai King (Dudong) dalam majlis tertinggi. 

Lee berkata UPP boleh dibubarkan seperti bekas presiden Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) William Mawan lakukan terhadap Teras. Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania James Chin, membuat ramalan. 

Katanya, jika BN enggan meletakkan UPP sebagai calon BN, parti itu boleh menjadi “parti bebas sementara”.

Chin berkata sementara Abang Johari tidak mengatakan UPP mesti menyertai SUPP untuk layak dipilih sebagai calon, keputusannya tidak meletakkan calon langsung “sama” dengan pendirian Adenan di mana akhirnya, UPP mesti menyertai mana-mana empat parti BN sedia ada.

SUPP sekali lagi diperuntukkan tujuh kerusi untuk brtanding pada PRU14 - Kuching, Stampin, Serian, Sibu, Lanang, Sarikei dan Bandar Miri.

Pada PRU13, SUPP tewas enam daripada tujuh kerusi dan hanya mengekalkan Serian yang disandang oleh timbalan presidennya Richard Riot selama lima penggal.

UPP meminta kepada BN untuk meletakkan calon di tiga kerusi dan di sekitar kubu kuatnya di Sibu. 

Kerusi itu adalah Bandar Sibu, Lanang dan Sarikei. – 19 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen