Prasarana bakal ambil tindakan undang-undang terhadap pemaju, kata Loke


Pada 27 Januari lalu, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan berikutan penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2023.

PRASARANA Malaysia Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju berhubung kerosakan struktur rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Prasarana akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula kos kerja pembaikan dan gangguan kepada perkhidmatan.

“Sebaik-baiknya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada 27 Januari lalu, perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan berikutan penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Selepas itu, pada 22 Februari, Loke berkata siasatan kerosakan struktur itu berpunca daripada pergerakan tanah, dipercayai akibat kerja pembinaan di tapak projek di sebelah Stesen Bandaraya.

Beliau berkata kerja pembinaan di tapak itu dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Keretapi) 1998.

Justeru katanya pada masa itu, kementerian akan melihat kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju terbabit. – 18 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen