POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi kadar khas bayaran saman RM50 bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar RM50 dan hanya terpakai bagi semua saman trafik yang dikeluarkan pada 2022 dan sebelumnya.
PDRM juga katanya komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.
“Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
“Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April ini bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’, kata perdana menteri pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Tambahnya, bagi memastikan aliran trafik lancar PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata langkah itu untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya tidak mengalami kesesakan lalu lintas.
Pada 15 April lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.
Katanya seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Rela bagi melancarkan aliran trafik .
“Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya dalam kenyataan. – 18 April 2023.
Komen