Syarikat penerbangan Australia lancar penerbangan dari Melbourne ke Jakarta


Syarikat penerbangan Australia Qantas mengumumkan penerbangan dari Melbourne ke Jakarta dilancarkan dan beroperasi tiga hari seminggu menggunakan Airbus A330 Aircraft. – Gambar AFP, 18 April, 2023.

SYARIKAT penerbangan Australia Qantas mengumumkan penerbangan dari Melbourne ke Jakarta dilancarkan dan beroperasi tiga hari seminggu menggunakan Airbus A330 Aircraft.

Perkhidmatan baharu itu menawarkan pilihan 10 penerbangan seminggu dan hampir 300,000 tempat duduk antara Jakarta dan Australia setiap tahun.

“Kami mendapati permintaan yang sangat tinggi ke dan dari Melbourne, jadi kami berbesar hati untuk meningkatkan rangkaian antarabangsa kami dengan satu lagi laluan baharu iaitu Victoria,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Domestik dan Antarabangsa Qantas, Andrew David pada Ahad, lapor Xinhua.

“Jakarta menjadi destinasi yang semakin penting bagi ahli korporat kami. 

“Penerbangan ini menawarkan lebih banyak pilihan dan menjadikannya lebih mudah bagi mereka menjalankan perniagaan dengan jiran terdekat Australia.”

Laluan baharu dari Melbourne ke Jakarta dijangka menarik penumpang yang melakukan perjalanan ke dan dari bandar utama Indonesia yang lain seperti Surabaya dan Medan.

“Laluan itu juga membuka peluang yang baik untuk lebih ramai rakyat Indonesia menerokai kawasan Victoria atau melawat keluarga dan rakan-rakan, dengan penerbangan yang dilancarkan tepat pada masanya sempena cuti Aidilfitri,” kata David. – Bernama, 18 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen