Angka kematian tragedi arak beracun di India meningkat kepada 32 orang


Angka kematian akibat pengambilan arak beracun di negeri Bihar timur India meningkat kepada 32 orang. Lebih 6,000 liter minuman keras dirampas semasa serbuan. – Gambar AFP, 18 April, 2023.

ANGKA kematian akibat pengambilan arak beracun di negeri Bihar timur India meningkat kepada 32 orang, lapor Xinhua memetik penyiar milik kerajaan All India Radio pada Isnin.

“Di Bihar, angka kematian akibat pengambilan minuman keras tiruan meningkat kepada 32.

“Angka itu dijangka meningkat ekoran 14 lagi dilaporkan kritikal dan mereka sedang menjalani rawatan di hospital berbeza di Motihari dan Muzaffarpur,” menurut penyiar itu.

Kematian kali pertama dilaporkan pada Sabtu di daerah Champaran Timur (Motihari).

Penyiar itu memetik seorang pegawai kanan polis di Motihari, Kantesh Kumar Mishra sebagai berkata bahawa 14 pegawai dan kakitangan wad dari balai polis berbeza telah digantung tugas.

Setakat ini pihak polis telah menahan 108 orang berhubung kejadian itu dan merampas lebih 6,000 liter minuman keras semasa serbuan.

Sementara itu, Ketua Menteri Bihar Nitish Kumar pada Isnin mengumumkan pampasan sebanyak AS$4,881 kepada keluarga mangsa. – Bernama, 18 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen