Apabila netizen jadi ahli falak 


Faisal Tehrani

Istilah falak akan sering didengari setiap kali tibanya masa untuk menentukan anak bulan khusus untuk bulan Ramadan dan Syawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2023.

SETIAP kali tiba masanya untuk menentukan anak bulan, khusus anak bulan Ramadan dan Syawal, kita akan sering mendengar istilah ‘falak’.

Terdapat netizen yang jika dibaca pulas pintal mereka, seakan-akan mempertikaikan kepakaran ilmu falak ulama lokal, dengan beranggapan apa yang diputuskan di Timur Tengah, khusus di Arab Saudi elok diekori.

Fahaman mereka adalah Saudi misalnya patut diikut, lagi-lagilah yang sangat diikut bila mengisytiharkan bilanya Hari Raya.

Orang awam seperti kita selalu mengecilkan batas ilmu falak kepada penentuan Raya atau tidak sahaja. Akan tetapi falak sebetulnya adalah ilmu yang lebih canggih daripada itu.

Ilmu falak adalah ilmu yang menyelidik dan memerhatikan gerakan cakerawala seperti matahari, bumi, bulan, bintang dan buruj. Ia disiasat dan dikaji demi memudah manusia untuk beribadat kepada Allah.

Untuk menentukan waktu sembahyang misalnya, kita memerlukan ilmu falak, demikian juga dalam mengesahkan arah kiblat, dan menyusun taqwim.

Maka adalah tidak munasabah sekiranya ulama tempatan di waktu silam tidak mempunyai ilmu berkenaan falak ini, lebih-lebih lagi kalau disorot ulama dan hasil mengenai disiplin falak yang mereka hasilkan.

Seperkara yang perlu difahami ialah ilmu falak bukanlah ilmu astrologi yang berbau ramalan baik buruk dan bersifat kepetuaan. Saya perhatikan ada banyak kekeliruan mengenai astronomi dan astrologi ini.

Misalnya Alang Shukrimun yang menulis untuk sebuah portal milik parti berteras agama, kelihatan kesasar dan nanar untuk membezakan dua disiplin di atas. 

Antara tokoh falak moden terkemuka rantau ini ialah Syeikh Taher Jalaluddin al-Azhari (1869-1957). Kebanyakan karya falak ulama lampau ini tertulis dalam bahasa Arab dan tertumpu untuk bacaan para ulama juga, maka sabitlah nama dan karangan mereka kurang dikenali dan kadang-kala disangka karya ulama Timur Tengah. Padahal ia ditulis di rantau ini, demi memenuhi keperluan umat di sebelah sini.

Jadi ilmu falak dengan itu sendirinya menjadi ilmu yang agak tertutup atau eksklusif untuk mereka yang tertentu sahaja.

Syeikh Tahir yang disebutkan di atas lahir pada 9 Disember 1869 di Sumatra dan ketika hidupnya dijolok sebagai pakar astronomi Islam di dunia Melayu. Antara kerja karya beliau ialah ‘Pati Kiraan Pada Menentukan Waktu Yang Lima’ dan ‘Natijah al-umm’.

Untuk menghargai sumbangan beliau, saya difahamkan Pusat Falak Syeikh Tahir telah didirikan pada tahun 1990an di Balik Pulau Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Antara karya-karya falak yang tersohor dari alam Melayu yang lain ialah Kitab al-Wasilah al-Mar’iyyah li Ma’rifat al-Auqat al-Syar’iyyah karya Khalifah Hamad pada 1908; dan Kitab al-Khusuf dan Kitab a-Kusuf oleh Mohamad Mansutr Abdul Hamid al-Betawi. Turut perlu disebutkan ialah karya Sheikh Ahmad al-Fatani iaitu Kitab Falak.

Selain itu terdapat juga Kitab al-Jawahir al-Naqiyah fi A’mal al-Jaybiyyah yang antara lain membincangkan tinggi rendah matahari, cara mendapatkan arah Kiblat, malah mengajarkan kiraan dalam perigi dan kelebaran sungai. 

Karya berjudul Risalah al-Mardini pula mengetengahkan antara lain masa syafak dan fajar. Semua karya di atas menunjukkan ulama ini juga serba sedikit menguasai apa yang kita hari ini namakan ilmu fizik dan matematik. Ini kerana ilmu falak juga adalah mengenai hitungan dan kiraan.

Kitab-kitab di atas juga mengajarkan penggunaan Rubu’ Mujayyab (atau Sine Quadrant) dalam memastikan penetapan waktu solat, kiblat, juga penentuan tinggi dan kedalaman sesuatu benda seperti telah saya sentuh lebih awal. 

Rubu’ Mujayyab ini sangat terkenal terutama di pondok-pondok tradisional, dan ini menjelaskan mengapa kitab falak tertumpu kepada sasaran tertentu.

Memandai-mandai

Apa yang membawa kepada netizen di negara ini agak memandai-mandai dalam menentukan hari awal atau akhir Ramadan ialah kerana ilmu falak ini dianggap semacam satu ilmu eksklusif. Misalnya, mudah sekali seseorang ulama menguasai ilmu usul, tetapi falak merupakan sebuah ilmu rentas bidang.

Setahu saya, pihak berkuasa agama yang konsisten memperkenalkan ilmu falak kepada orang awam (agar tidak menjadi ilmu khas yang eksklusif) ialah pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan, yang saya perhatikan nampaknya turut memberi bengkel dan kursus falak kepada anak-anak tatkala cuti sekolah.

Hari ini sudah ada seruan agar penguasaan ilmu falak ditingkatkan, dalam membantu membuat kira-kiraan bagi menghindari bencana alam. Ini kerana sedar atau tidak ilmu falak dapat memberikan petunjuk terhadap perubahan alam termasuk cuaca serta pertukaran musim yang perlu dimanfaatkan oleh manusia.

Jika seseorang itu pakar dalam ilmu ini, kita misalnya boleh mengagak tarikh-tarikh fenomena musim air pasang besar yang berlebihan atau tarikh berpotensi berlakunya banjir pada waktu musim tengkujuh.

Ilmu falak beginilah yang dikuasai oleh para tukang Melayu satu waktu dahulu, yang mana membolehkan mereka bekerja membina rumah atau istana mengikut masa dan tempat bersesuaian, dan bukan dikerjakan sahaja main bantai sepanjang tahun.

Hanafiah Abdul Razak, pernah melontarkan dalam kertas ‘Kearifan Tempatan Dalam Ilmu Falak di Alam Melayu’ dalam satu seminar di Universiti Malaya pada tahun 2019 untuk ‘memanfaatkan’ ilmu falak bagi melancarkan industri perlombongan dan kerja korek pasir. Ini sangat difahami memandangkan beliau bertugas di Jabatan Mufti Johor.

Terlepas dari kegunaan falak untuk melombong di Johor, kita tetap perlu menguasai ilmu falak untuk menentukan bila Hari Raya atau pengisytiharan tarikh 1 Syawal yang betul.

Di negara kita hanya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sahaja yang berhak menentukan laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.– 18 April, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen