1MDB: Wujud tanda amaran, namun bank tak pernah lapor transaksi mencurigakan, kata saksi


SEORANG bekas pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa meskipun wujud tanda amaran yang jelas berhubung transaksi mencurigakan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bank BSI tidak pernah memfailkan laporan berhubung perkara itu kepada Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Kevin Micheal Swampillai, 59, yang berkhidmat dengan Bank BSI Singapura dari 2010 hingga 2016, berkata bank dikehendaki memfailkan laporan itu untuk memaklumkan pihak berkuasa. 

“Tanda amaran yang jelas di sini bermaksud ia membabitkan individu yang terdedah secara politik dan dalam kes ini, entiti kerajaan Malaysia (1MDB) telah membuka akaun dengan sebuah bank swasta kecil dengan penandatangan akaun itu hanyalah seorang individu.

“Transaksi (di bank itu) telah diluluskan oleh penandatangan tunggal itu tanpa minit mesyuarat lembaga pengarah dan penggunaan struktur dana fidusiari adalah tidak jelas. Kesemua ini adalah contoh tanda amaran yang amat jelas. Saya boleh bayangkan sebuah bank yang lebih besar akan mengambil tindakan dan menghentikan transaksi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes Najib Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-44 itu bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa laporan berhubung transaksi 1MDB yang mencurigakan itu tidak difailkan untuk mengimbangi kepentingan komersial bank tersebut.

Muhammad Shafee: Boleh anda beritahu apa yang akan berlaku jika laporan itu difailkan?

Kevin: Kebiasaannyan ia akan membawa kepada penutupan akaun. Ia adalah petunjuk bahawa bank telah membuat keputusan untuk menamatkan hubungan dengan pelanggan terbabit. 

Kevin juga berkata tindakan memfailkan laporan itu bermakna bank berkenaan sudah bersedia dari segi perundangan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dari segi menyalurkan maklumat serta transaksi yang dilakukan melalui akaun pelanggan terbabit. 

“Terdapat penalti yang berat terhadap bank kerana tidak mengendahkan peruntukan ini seperti yang berlaku dalam kes Bank BSI iaitu lesennya telah ditarik dan ditamatkan,” katanya.

Kevin juga berkata Bank BSI memperoleh kira-kira AS$250 juta sebagai fi daripada 1MDB dan syarikat yang berkaitan kerana mereka adalah pelanggan tunggal terbesar dari segi jumlah transaksi serta hasil. 

Saksi itu turut mengimbau saat beliau mengadakan telesidang bersama Najib dan Pengurus Perhubungan Bank BSI ketika itu, Yak Yew Chee, di mana bekas perdana menteri itu ada bertanya mengenai penilaian pelaburan bagi Dana Pulangan Mutlak Bridge Global.

“Beliau menamatkan panggilan dengan meminta dokumentasi yang akan membuktikan nilai dana itu. Tanggapan saya ketika itu ialah beliau bimbang dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Yak.

“Saya tidak tahu apa yang dibimbangkan tetapi ia berkaitan dengan nilai dana (di mana wang 1MDB berakhir),” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. – Bernama, 17 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen